Sorting by

×

Cari penyelesaian kesesakan di bulatan Dataran Klebang

Masa Membaca:1 Minit, 20 Saat

KLEBANG 8 Februari – Reka bentuk bulatan dan jumlah kenderaan antara perkara yang diambil kira dalam usaha menyelesaikan masalah kesesakan di bulatan Dataran Klebang, melalui Jalan Klebang Besar/Klebang Kecil menghala ke persimpangan lampu isyarat Batang Tiga, di sini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Klebang, Datuk Lim Ban Hong Berkata, Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) juga akan melakukan mesyuarat pelarasan memandangkan laluan itu adalah Jalan Persekutuan.

Ban Hong berkata, perkara itu perlu diselesaikan segera kerana membabitkan kepentingan banyak pihak dan bukan setakat penduduk tinggal sepanjang laluan berkenaan.

“Jadi hari ini saya bersama JKR dan MBMB turun padang meninjau reka bentuk bulatan sedia ada dan jumlah lalu lintas untuk mencari jalan penyelesaian bagi tujuan penyuraian trafik.

“Sebagai Adun saya bersama Kerajaan Negeri akan membuat permohonan kepada Kerajaan Persekutuan terutamanya Kementerian Kerja Raya (KKR) dan berharap agar masalah ini diberi keutamaan, sekali gus kerja penyuraian trafik dapat dilaksanakan,” katanya.

Terdahulu beliau bersama wakil JKR dan MBMB turun padang meninjau laluan berkenaan, di sini, hari ini.

Jelasnya keadaan lalu lintas juga memainkan peranan dalam pembangunan sesebuah kawasan selain merangsang pertumbuhan ekonomi.

Menurutnya laluan itu adalah penghubung kepada kawasan Tanjung Kling dan Sungai Udang, malah menjadi pilihan utama pengguna jalan raya untuk ke Bandaraya Melaka.

“Kesesakan lalu lintas di laluan ini bukan sahaja berlaku pada waktu pagi dan petang, ia semakin serius setiap kali cuti umum. Laluan ini termasuk di persimpangan Batang Tiga akan sesak.

“Susulan daripada ini, penduduk setempat juga terkesan terutama mereka yang tinggal di taman perumahan berhampiran, begitu juga peniaga. Jadi penyelesaian perlu dilakukan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2341
Kongsi :
Previous post Gempa bumi Turkiye dan Syria: Lebih 8,000 terkorban, angka kematian terus meningkat
Next post Polis Melaka tanam cili guna IoT
Ubah saiz-+=