Sukarelawan UTeM bantu mangsa banjir di Kota Tinggi
AYER KEROH 7 Februari – Senada dengan aspirasi Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) menjayakan misi bantuan pasca banjir di Kota Tinggi, Johor, baru-baru ini.
Naib Canselor UTeM, Prof. Ts. Dr. Massila Kamalrudin berkata, pihaknya menghulurkan bantuan 215 pek makanan (Bakul Rahmah UTeM-KPT).
Jelasnya, UTeM menyerahkan kesemua bantuan tersebut secara berpusat di Kolej Komuniti Kota Tinggi untuk diagihkan kepada mangsa yang terlibat.
Dr. Massila berkata bantuan diagihkan kepada mangsa banjir di Kampung Mawai, Kampung Gembur dan Kampung Sayang.
Beliau berkata bantuan berkenaan adalah hasil sumbangan pelbagai pihak termasuk UTeM Holdings Sdn. Bhd, Pejabat Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA), Pusat Pengurusan Kolaborasi RICE dan Pusat Islam.
“UTeM selaku Institusi kecemerlangan ilmu dan peneraju TVET negara, berinisiatif tinggi dan berpendirian sentiasa prihatin serta cakna kepada mangsa-mangsa bencana, justeru kami terus menggerakkan misi bantuan ini.
“Telah menjadi sebahagian daripada budaya UTeM yakni sentiasa ingin membantu dan segera menghulurkan bantuan kepada pihak yang memerlukan,” katanya menerusi satu kenyataan.
Hadir sama pada majlis penyerahan bantuan berkenaan adalah Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar (UTeM) Prof Madya Datuk Dr. Sabri Mohamad Sharif dan Timbalan Pendaftar Pejabat HEPA UTeM, Akmal Manap.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.