RM100,000 bantu asnaf kembangkan perniagaan
KLEBANG 7 Februari – Seramai 10 usahawan asnaf terpilih di negeri ini menerima bantuan RM10,000 seorang bagi mengembangkan lagi perniagaan dalam bidang pengeluaran makanan.
Penyelaras Pusat Hab Pengeluaran Produk Usahawan Asnaf Majlis Agama Islam Melaka (MAIM), Zaidi Omar berkata, bantuan itu disediakan Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (SIRIM) mampu membantu usahawan meningkatkan kualiti pembungkusan serta pelabelan produk masing-masing.
Zaidi berkata menerusi bantuan itu setiap usahawan dibekalkan pelabelan dan pembungkusan produk mengikut piawaian ditetapkan termasuk pandaftaran logo produk dan kos ujian makmal bagi persijilan fakta nutrisi pemakanan.
“Alhamdulillah, kali ini Negeri Melaka diberi kuota tambahan seramai 10 usahawan berbanding cuma seorang sahaja sebelum ini. Usaha ini mampu membantu usahawan melebarkan lagi pasaran.
“Kami berharap agar bantuan diterima ini mampu memberi satu galakan dan menyuntik semangat usahawan untuk ke peringkat lebih tinggi,” katanya ketika ditemui pada Program CSR SIRIM bersama Usahawan Asnaf di pusat itu di Klebang, di sini, hari ini.
Menurutnya pemantauan berterusan akan dilaksanakan pihaknya bagi membimbing usahawan terlibat dalam memastikan mereka tidak tersasar dan berada pada landasan yang betul.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.