Sorting by

×

Gempa bumi kuat: Lebih 2,300 terbunuh di Turkiye, 1,300 di Syria, Ankara umum berkabung tujuh hari

Masa Membaca:1 Minit, 18 Saat

DIYARBAKIR (Turkiye), 7 Feb – Sekurang-kurangnya 2,379 orang terbunuh dan 14,483 yang lain cedera di 10 wilayah Türkiye berikutan dua gempa bumi kuat yang menggegarkan bahagian selatan negara itu pada Isnin, lapor Agensi Anadolu memetik kenyataan Naib Presiden Fuat Oktay.

Gempa dengan magnitud 7.7 itu melanda daerah Pazarcik di wilayah Kahramanmaras dan menggegarkan beberapa wilayah lain termasuk Gaziantep, Sanliurfa, Diyarbakir, Adana, Adıyaman, Malatya, Osmaniye, Hatay dan Kilis pada awal pagi Isnin.

Satu lagi gempa bumi kuat berukuran 7.6 pada skala Richter yang berpusat di daerah Elbistan di Kahramanmaras berlaku pada 1.24 tengah hari (6.24 petang Waktu Malaysia).

Oktay berkata 7,840 orang diselamatkan daripada runtuhan oleh 11,022 anggota mencari dan menyelamat.

Beliau berkata 338,000 mangsa kini ditempatkan di asrama, universiti dan pusat perlindungan.

Pada masa ini tiada ancaman tsunami terhadap pantai Mediterranean Timur Türkiye, menurut Presiden Pengurusan Bencana dan Kecemasan (AFAD).

Gempa kuat itu turut memusnahkan negara jiran Syria dengan pegawai kerajaan dan penyelamat melaporkan hampir 1,300 orang terbunuh dan lebih 2,400 yang lain cedera setakat ini.

Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan berkata gempa bumi pada Isnin itu merupakan “bencana terbesar” sejak gempa bumi Erzincan pada 1939.

Türkiye akan berkabung selama tujuh hari.

“Ekoran gempa bumi yang berlaku di negara kita pada 6 Feb, tempoh berkabung negara diisytiharkan selama tujuh hari. Bendera di seluruh negara dan pejabat perwakilan kita di luar negara akan dikibarkan separuh tiang sehingga Ahad, 12 Feb,” lapor Agensi Anadolu memetik ciapan Erdogan di Twitter.

— BERNAMA

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

3286
Kongsi :
Previous post Apam balik motosikal klasik
Next post Komuniti maritim Melaka meriahkan tayangan filem Coast Guard
Ubah saiz-+=