Sorting by

×

Gara-gara cinta maya, doktor rugi lebih RM90,000

Masa Membaca:1 Minit, 37 Saat

KUALA LUMPUR, 4 Feb –  Gara-gara dilamun cinta maya, seorang doktor wanita terpaksa berputih mata selepas mengalami kerugian sebanyak RM94,000 akibat terjerat dalam Love Scam dengan seorang lelaki yang baru dikenalinya tidak sampai dua minggu, menerusi aplikasi Facebook.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata wanita berusia 31 tahun itu pada mulanya berkenalan dengan suspek yang mendakwa bekerja di luar negara menerusi aplikasi itu sebelum hubungan berterusan melalui aplikasi WhatsApp yang menggunakan nombor telefon antarabangsa.

“Selepas dua minggu berkenalan, mangsa yang tidak pernah menemui suspek telah diminta untuk melakukan transaksi dalam talian untuk urusan pembelian barang melalui laman sesawang (https://federalcreditwestunionbank.com). 

“Mangsa yang ketika itu berada di rumah telah menekan pautan laman sesawang itu dan mengisi maklumat yang diberikan suspek iaitu data pengenalan dan kata laluan serta melakukan beberapa transaksi pembelian barang menggunakan akaun peribadinya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ekoran transaksi itu, akaun mangsa telah dibekukan tanpa diketahui punca dan dia kemudian diminta untuk membuat pembayaran deposit bagi membolehkan akaun itu diaktifkan semula.

Bimbang dengan keadaan itu, wanita berkenaan telah mengikut arahan yang diberikan oleh laman sesawang itu dan telah melakukan pembayaran deposit secara beberapa kali ke dalam satu akaun tempatan berjumlah RM23,701.

“Bagaimanapun dia kemudian dimaklumkan bahawa jumlah berkenaan tidak mencukupi dan perlu menambahkan jumlah wang selain diarahkan untuk menggunakan Huobi App bagi tujuan penukaran mata wang Ringgit Malaysia kepada US Dollar,” katanya.

Mohamad Fakhrudin berkata mangsa yang masih tidak sedar telah menjadi mangsa penipuan telah memasukkan wang ke empat lagi akaun bank berbeza melalui aplikasi itu. 

“Mangsa mula menyedari dirinya ditipu apabila teman lelaki mayanya itu meminta untuk mememasukkan wang kepada rakan suspek, namun wanita itu tidak berbuat demikian sebelum bertindak melaporkan hal itu kepada pihak polis,” katanya.

Beliau menasihati orang ramai agar berhati-hati dalam setiap perkenalan dalam talian dan tidak terpedaya dengan janji-janji manis sahabat dalam alam maya ini.

— BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1482
Kongsi :
Previous post Jumlah OKP terlibat dadah meningkat lebih 11 peratus di Melaka
Next post LPP dan FAMA diarah lakukan intervensi segera atasi kekurangan sayur
Ubah saiz-+=