Banjir: Mangsa di Johor dan Sabah meningkat sedikit pagi ini
KUALA LUMPUR, 1 Februari – Bilangan mangsa banjir di Johor dan Sabah bertambah sedikit setakat pagi ini, menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN).
Di JOHOR, jumlah mangsa banjir di empat daerah meningkat kepada 1,381 orang berbanding 1,379 pada 8 malam tadi.
JPBN memaklumkan sebanyak 17 pusat pemindahan sementara (PPS) masih beroperasi di empat daerah yang menempatkan 379 keluarga.
Batu Pahat masih mencatatkan jumlah mangsa tertinggi dengan 921 orang, diikuti Kota Tinggi (223), Mersing (147) dan Segamat (90), menurut jawatankuasa itu dalam satu kenyataan.
Cuaca di negeri itu cerah kecuali daerah Mersing yang dilaporkan mendung ketika ini.
Sementara di SABAH, jumlah mangsa banjir meningkat kepada 599 orang daripada 183 keluarga yang dipindahkan ke 13 PPS di tiga daerah, berbanding 556 orang daripada 165 keluarga malam tadi.
Sekretariat JPBN Sabah dalam kenyataan memaklumkan mangsa teramai dipindahkan di Telupid iaitu 443 orang daripada 131 keluarga yang berlindung di sembilan PPS.
“Di Paitan seramai 111 orang daripada 40 keluarga dipindahkan ke tiga PPS dan Lahad Datu 45 orang daripada 12 keluarga di satu PPS,” menurut kenyataan itu.
Kenyataan itu juga memaklumkan jumlah mangsa banjir di Telupid dijangka meningkat manakala di Paitan dan Lahad Datu dijangka kekal.
— BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.