Sorting by

×

Pelancong terkejut Melaka sejuk

Masa Membaca:1 Minit, 56 Saat

KLEBANG 31 Januari – Umpama berada di Cameron Highlands, orang ramai kini boleh merasai suasana sejuk dan nyaman itu di Melaka berikutan fasa Monsun Timur Laut yang melanda beberapa negeri sejak beberapa hari lalu.

Cuaca dingin dan berangin itu memberi peluang kepada orang ramai khususnya pengunjung untuk beriadah bersama keluarga di Melaka biarpun pada waktu tengah hari.

Tinjauan Melaka Hari Ini di Pantai Klebang pada jam 12 tengah hari tadi mendapati pengunjung tidak melepaskan peluang bersantai bersama keluarga dan menjamu selera di pantai berkenaan.

Pengunjung dari Putrajaya, Jasween Amiera Zainuddin, 28, berkata, dia yang kerap berkunjung ke Melaka untuk melawat adik yang belajar di sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di negeri ini terkejut apabila merasai suasana yang cukup berbeza di negeri ini.

“Biasanya bila datang Melaka, cuaca agak panas terik, tetapi alhamdulillah kunjungan kali ini sangat sejuk dan tenang.

“Kami sekeluarga yang tiba pada jam 11 pagi tadi masih merasai kesejukan itu dan sampai tengah hari pun cuaca masih sejuk menyebabkan kami mengambil keptusan untuk bersantai dan beriadah di tepi pantai,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

photo1675150440
Pengunjung berkesempatan bergambar dalam suasana dingin pada jam 12 tengahari dengan bacaan suhu serendah 28 darjah celsius di Pantai Klebang, Melaka. Foto: MR. AZLI

Seorang lagi pengunjung dari Kuala Lumpur, Noor Rashidah Abdul Halim, 33, turut teruja dengan cuaca sejuk yang melanda negeri ini sejak beberapa hari lalu.

“Saya datang Melaka dari hari Ahad sebab ada hari keluarga, lebih 60 ahli keluarga yang datang sekali dan semuanya seronok sebab cuaca lebih sejuk

“Cuaca begini kita lebih selesa nak berjalan dengan keluarga, tak panas dan tak hujan anak-anak pun tak buat perangai,” katanya.

photo1675154904
Temubual Peniaga, Diana Maslan, 42, dalam suasana dingin pada jam 12 tengahari dengan bacaan suhu serendah 28 darjah celsius di Pantai Klebang, Melaka. Foto: MR. AZLI

Sementara itu, seorang peniaga makanan, Diana Maslan, 42, turut meluahkan rasa syukur cuaca dingin memberinya peluang untuk berniaga dengan lebih santai tanpa perlu berpanas di bawah terik mentari.

“Walaupun kedatangan pengunjung sedikit berkurang bila cuaca sejuk, namun demi rezeki saya gagahkan diri juga berniaga seperti biasa.

“Alhamdulillah, dengan cuaca sebegini, saya tidak perlu berpanas, jadi, saya lebih santai dan selesa berniaga melayani pelanggan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

10754
Kongsi :
Previous post MAIM sumbang RM10,000 baik pulih surau Orang Asli
Next post Kelas KAFA untuk anak Orang Asli akan dibuka tahun ini – KM
Ubah saiz-+=