Sorting by

×

Roti arab cicah kari kambing, memang padu!

Masa Membaca:1 Minit, 46 Saat

BEMBAN 31 Januari – Roti canai, capati dan tosai sering kali didengar malah menjadi menu utama pilihan rakyat Malaysia, namun begitu nama roti arab yang mempunyai keunikan rasa tersendiri mungkin tidak begitu popular dan agak jarang dijual di kedai makan.

Kelembutan tekstur rotinya apabila dimakan bersama kari kambing misalnya, sudah pasti memberikan satu rasa yang amat menyelerakan serta kepuasan kepada pengemarnya yang mungkin mampu menghabiskan dua hingga tiga keping.

Seperti roti canai juga, roti arab ini boleh juga dicicah atau dimakan bersama sambal mahupun rendang mengikut pilihan masing-masing.

photo_2023-01-30_18-03-17
Pelanggan mencuba hidangan roti arab bersama kari kambing yang menjadi hidangan istimewa di Bazar KPA Mara, Taman Damai, Jasin. Foto: MR. AZLI

Bagi peniaga roti arab kari kambing, Ismail Bidin, 29, berkata, dia tidak menyangka percubaannya sebelum ini untuk menjual hidangan itu membawa tuah apabila gerainya di Bazar KPA Mara, Taman Damai, di sini, kini menjadi lokasi pengemar roti arab.

Katanya, sebelum ini dia menjalankan perniagaan menjual kerepek, namun disebabkan faktor keuntungan yang tidak memberangsangkan dia cuba ketengahkan roti arab kari kambing.

“Mulanya hanya ingin mencuba untuk mencari pendapatan sampingan tetapi tidak sangka mendapat sambutan dan ramai yang gemarkannya dan Alhamdulillah, kini sudah tahun kelapan menu ini dibawa di gerai saya.

“Ada juga terfikir roti canai tapi di Bemban ini sudah terlalu banyak kedai yang menjualnya jadi fikir, saya perlu mencari satu kelainan tetapi akan disukai orang ramai.

“Jadi hasilnya saya gabungkan dua menu ini iaitu roti arab dan kari kambing yang pasti mempunyai ramai penggemarnya tidak kira peringkat usia serta bangsa,” katanya.

Ujarnya, selain menghidangkan kari kambing, pelanggan juga boleh memilih untuk menikmati roti arab bersama sambal sotong, rendang ayam mahupun beberapa lauk lain.

“Setiap orang ada citarasa tersendiri dan apa yang pelanggan maklumkan kepada saya, mereka gemarkan kari kambing di sini kerana selain mempunyai kelainan pada rasa, dagingnya juga lembut serta tidak liat,” katanya.

photo_2023-01-30_17-55-01
Hidangan kari kambing menu bersama roti arab yang menjadi hidangan istimewa di Bazar KPA Mara, Taman Damai, Jasin. Foto: MR. AZLI

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

10145
Kongsi :
Previous post Pernah putus asa, kini punyai 1,000 bunga orkid
Next post Ada apa di Tanjung Tuan?
Ubah saiz-+=