Sorting by

×

Merlimau lokasi pelancongan gerbang selatan Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 54 Saat

MERLIMAU 29 Januari – Pelbagai tarikan yang terdapat dalam kawasan Merlimau mampu menjadi pusat pelancongan gerbang selatan sempena Tahun Melawat Melaka 2024.

Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata, mengambil contoh pengindahan dilaksanakan di Dataran Orang Kampung, lokasi itu mampu menjadi titik tolak kepada usaha mengindahkan Melaka.

Katanya, ia juga langkah persediaan awal menggamit lebih ramai pelancong untuk datang ke Melaka.

“Saya mohon agar lebih banyak projek pengindahan sebegini dapat dilaksanakan dalam usaha kita mempersediakan negeri ini untuk Tahun Melawat Melaka 2024 agar dapat terus menggamit pelancong untuk datang dan kembali ke negeri yang bertuah ini sekali gus terus menyumbang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Negeri.

“Hari ini, saya lihat Merlimau atau nama Jasin itu sendiri telah menjadi bualan dan viral di laman sosial media seperti Tiktok.

“Alhamdulillah, kawasan Merlimau semakin pesat membangun dengan pelbagai kemudahan awam dan infrastruktur moden disediakan oleh kerajaan dan semua ini adalah tidak lain semata-mata untuk masyarakat setempat dan pelancong yang datang berkunjung ke sini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada ucapannya sempena Majis Perasmian Merlimau Bercahaya dan Merlimau Berpeluh 5.0 diadakan di Dataran Orang Kampung, di sini, malam tadi.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Merlimau, Dr. Muhamad Akmal Saleh.

05E9E053-590C-4C74-BB62-E287E93E34F0
Pengunjung yang hadir mengambil kesempatan bergambar bersama hiasan lampu yang menjadi tarikan orang ramai sempena Majlis Perasmian Merlimau Bercahaya di Dataran Orang Kampung Merlimau. Foto Iqmal Haqim Rosman

Mengulas lanjut, Sulaiman berkata, keunikan Merlimau Bercahaya ini juga akan menjadi salah satu tarikan pelancong di kawasan gerbang Selatan ini.

“Pelancaran Merlimau Bercahaya ini juga bertepatan dengan persediaan Tahun Melawat Melaka 2024, yang mana Kerajaan mensasarkan 8.4 juta pelancong akan melawat Melaka pada tahun 2023, maka pada tahun 2024 sasarannya akan lebih daripada apa yang disasarkan pada tahun ini,” katanya.

Dalam pada itu, Sulaiman berkata, seluruh masyarakat di Dun itu perlu bersedia dalam usaha kerajaan merangka strategi bagi memastikan Merlimau dijadikan lokasi kedatangan pelancong pada masa akan datang.

“Saya menyeru kepada seluruh orang kampung Merlimau untuk turut serta dalam meraih hasil yang bakal dijana dengan kedatangan pelacong-pelancong ini.

“Sebagai contoh, pengusaha kedai makan perlu tingkatkan kualiti makanan, masak sedap-sedap supaya bila mereka rasa sekali, pasti nak datang lagi,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2057
Kongsi :
Previous post Mangsa banjir di Sabah menurun, Johor meningkat, Pahang kekal
Next post TYT ‘belanja’ sayur segar kepada pengunjung
Ubah saiz-+=