Jalan pintas baharu atasi kesesakan ‘Pekan Koboi’
DURIAN TUNGGAL 27 Januari – Masalah kesesakan yang berlaku di Pekan Durian Tunggal dapat diatasi dengan pembinaan jalan pintas baharu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Durian Tunggal, Zahari Abd Kalil berkata, jalan pintas sejauh satu kilometer itu sekali gus mengurangkan kesesakan lalu lintas di kawasan itu yang semakin padat dengan pertambahan penduduk daripada perumahan baharu.
“Projek jalan raya ini sedang dibina bermula di Sekolah Kebangsaan (SK) Durian Tunggal sehingga ke Padang Keladi, ini adalah jalan potong lebih dekat dengan anggaran sejauh satu kilometer.
“Kita jangkakan pada bulan Ogos atau September ini siap, setakat ini pembinaan jalan ini sudah siap 60 peratus, dulu kita tangguhkan sekejap kerana COVID-19 melanda negara,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
JALAN PERHUBUNGAN DESA
Tidak hanya memfokuskan jalan raya di kawasan bandar untuk kemudahan pengguna, Zahari berkata, jalan perhubungan desa turut dinaik taraf bagi memastikan keselesaan serta keselamatan penduduk di kawasan kampung.
Menurutnya, setakat ini terdapat dua jalan perhubungan desa di Durian Tunggal iaitu di Jalan Kebun Beringin dan Kampung Padang Keladi khusus untuk memudahkan penduduk kampung yang mempunyai kebun.
“Biasanya penduduk kampung lalu kawasan ini mereka pergi ke kebun masing-masing, ada yang menoreh getah, pergi ke tanah rancangan, tanah pertanian dan sebagainya.
“Jalan perhubungan desa ini boleh tembus ke Kampung Bukit Tambun, penduduk hanya perlu lalu sejauh tiga kilometer, manakala di Beringin boleh tembus ke Rembia dan Paya Rumput sejauh dua kilometer.
“Disebabkan banyak kenderaan lalu sini kita akan usahakan untuk naik taraf sedikit laluan ini, tetapi kita mengikut peruntukan yang diberikan sahaja,” katanya.
TEBING KURANGKAN BANJIR
Dalam pada itu, Zahari berkata, usaha untuk mengurangkan masalah banjir di Dewan Undangan Negeri (DUN) Durian Tunggal turut diberi perhatian oleh pihaknya.
Katanya, masalah banjir pada ketika ini berjaya dikurangkan hasil kerja-kerja menaik taraf tebing di Sungai Belimbing untuk untuk menghalang limpahan air sungai ketika hujan lebat.
“Sebelum dinaikkan tebing ini lebih 70 buah rumah penduduk di Kampung Belimbing Dalam dilanda banjir kilat, tetapi banjir yang melanda baru-baru ini hanya melibatkan kira-kira 15 buah rumah penduduk.
“Jadi kita boleh nampak jumlah penduduk yang terkesan semakin berkurangan disebabkan tebing yang menghalang banjir sudah dibina, apabila ada tebing begini air yang melimpah sewaktu hujan tidak turun ke rumah penduduk.
“Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri juga sudah dimaklumkan tentang perkara ini dan ada beberapa tebing penahan lagi akan dibina lagi dalam masa terdekat,” katanya.
ATASI ISU KOLAM TAKUNGAN
Dalam pada itu Zahari turut berharap isu membabitkan kolam takungan di Kampung Bukit Tambun dapat diatasi.
Katanya, ia berikutan kolam takungan sedia ada itu dilihat tidak berfungsi dengan baik ketika hujan lebat.
“Saya nak cakap tentang kolam takungan di kawasan taman DUN ini, saya lihat tidak berapa efektif masih berlaku lagi limpahan air, air takungan itu sepatutnya dijadikan tadahan, tetapi ia tetap mengalir keluar sewaktu hujan.
“Jadi bila takungan ini tidak berfungsi dengan baik, penduduk kampung sebelah akan merasa kesannya, dahulu tiada rumah yang kena banjir tetapi sekarang bila air melimpah ada enam buah rumah penduduk dilanda banjir.
“Saya mahu isu mengenai takungan ini diambil berat, takungan untuk menadah air, tetapi saya lihat ia tetap mengalir dan bila hujan lebat ia melimpah keluar.
“Saya dah maklumkan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) kawasan ini, jadi diharap selepas ini sistem kolam takungan ini dapat dibuat dan berfungsi dengan baik,” katanya.
BIODATA
Nama: Zahari Abd Kalil
Umur: 49
Karier:-
– Ahli Dewan Undangan Negeri Durian Tunggan (2021-kini)
– Pemilik dan Pengurus Besar Syarikat Beringin Megah Enterprise
Politik:-
– Ketua UMNO Cawangan Beringin
– Bendahari UMNO Bahagian Alor Gajah
INFO DUN DURIAN TUNGGAL
Jumlah penduduk : 20,000
Kampung : 13
Taman Perumahan : 24
Rumah Ibadat:-
Masjid: 6
Surau: 13
Tokong: 3
Kuil: 1
Institusi Pendidikan:-
Sekolah Kebangsaan: 6
Sekolah Menengah: 1
Sekolah Jenis Kebangsaan Cina: 2
Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil: 1
Sekolah Rendah Agama JAIM: 5
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.