Sorting by

×

Bertembung polis ketika pecah rumah dua tingkat

Masa Membaca:1 Minit, 6 Saat

MELAKA TENGAH 26 Januari – Cubaan seorang lelaki cuba memecah masuk sebuah rumah tidak berpenghuni di Taman Temenggong Hang Tuah Jaya pada Tahun Baharu Cina, 22 Januari lalu, berakhir dengan kegagalan apabila dia berjaya dicekup sepasukan polis.

Dalam kejadian kira-kira 12.55 pagi, 22 Januari lalu, suspek berusia 54 tahun yang berada di dalam pintu pagar rumah kelihatan terkejut apabila terlihat kelibat polis sebelum cuba melarikan diri.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, kejadian itu berlaku ketika tujuh anggota dari Balai Polis Bukit Baru sedang melakukan rondaan pencegahan jenayah sempena Tahun Baharu Cina.

Ketika rondaan itu, pihaknya menerima maklumat mengenai kehadiran seorang individu mencurigakan di taman perumahan berkenaan sebelum menemui suspek di dalam rumah itu.

“Ketika anggota tiba, suspek cuba melarikan diri dengan masuk semula ke dalam rumah dan ditemui di tingkat atas rumah.

“Semasa proses penahanan, suspek cuba melawan dan melakukan kekerasan, namun tindakan pantas anggota berjaya menahan suspek.

“Hasil siasatan mendapati suspek berjaya memasuki rumah berkenaan mengumpil jeriji di bahagian dapur,” katanya.

Beliau berkata, hasil penahanan suspek, pihak polis merampas sepasang sarung tangan berwarna hitam dan lampu suluh yang digunakan untuk memecah masuk rumah berkenaan.

Suspek direman selama enam hari bermula 22 Januari lalu dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah rumah.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1985
Kongsi :
Previous post Ibu bapa anak istimewa diminta tampil daftar kad OKU
Next post MBMB Warriors balas dendam
Ubah saiz-+=