Sorting by

×

Duta TVET santuni tiga DUN promosi bidang vokasional

Masa Membaca:1 Minit, 43 Saat

DURIAN TUNGGAL 26 Januari – Tiga Dewan Undangan Negeri (Dun) Negeri Melaka dipilih sebagai lokasi rintis bagi mempromosi dan mendekatkan masyarakat dengan bidang Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET).

Naib Canselor Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Prof. Ts. Dr. Massila Kamalrudin berkata, lapan kumpulan dilantik sebagai Duta TVET UTeM akan menjalankan projek berkaitan bidang berkenaan di DUN terpilih iaitu Tanjung Bidara, Bukit Katil dan Pantai Kundor.

Katanya Duta TVET UTeM merupakan program diinspirasi untuk mengilmukan masyarakat melalui aktiviti pemindahan ilmu selain mampu mengaplikasikan bidang itu kepada komuniti menerusi perkongsian pengetahuan yang dijalankan.

“Perkara ini mampu memasyarakatkan universiti melalui perkongsian ilmu dan kepakaran serta pemindahan teknologi dengan melaksanakan projek-projek teknikal berimpak.

“Berdasarkan lokaliti terlibat beberapa projek telah dikenal pasti untuk dilaksanakan seperti Sistem Akuaponiks Pintar dengan IoT di Tanjung Bidara, Penyelenggaraan Komputer dan Rangkaian Keselamatan Siber dan Inovasi di Pantai Kundor selain pendekatan kepada UTeM Digital Niaga yang dijalankan di Bukit Katil.

“Melalui perlaksanaan program ini ia dapat membantu komuniti mempraktikkan ilmu yang dipelajari bagi tujuan mensejahterakan dan melestarikan keusahawanan sosial dalam kalangan masyarakat setempat terutama golongan B40,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan aluannya pada Majlis Pelancaran Duta TVET Universiti Teknikal Melaka Malaysia (UTeM) di Dewan Canselor UTeM dirasmikan Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali, di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mohamad Yusof Apdal, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pantai Kundor, Tuminah Kadi dan Pengerusi Lembaga Pengarah UTeM, Datuk Seri Hasim Hasan.

Sementara itu, Dr. Massila ketika ditemui pemberita menjelaskan projek rintis yang dijalankan universiti itu akan diperluaskan dalam masa terdekat ini membabitkan beberapa lokasi luar dari Negeri Melaka.

Jelasnya antara lokasi sudah dikenal pasti adalah di Kota Tinggi dan Iskandar Puteri, Johor; Lahad Datu, Sabah dan di DUN Lendu.

“Program ini kita akan namakan sebagai TVET-Unity di mana ia di bawah program KPT yang masih di dalam perancangan. Kita akan bekerjasama dengan lebih meluas lagi selepas ini, jadi kita akan mengenal pasti projek terbaik untuk kita fokuskan bagi kawasan di luar Negeri Melaka,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1977
Kongsi :
Previous post KPT sedia bantu penuntut IPT terjejas banjir
Next post Ibu bapa anak istimewa diminta tampil daftar kad OKU
Ubah saiz-+=