Tumpahan minyak: Tragedi kembali selepas 24 tahun, cabaran hebat buat petugas
TANJUNG TUAN 16 Okt. – 24 tahun lalu, sekitar 1996 perairan Melaka juga pernah digemparkan dengan insiden pencemaran minyak.
Kejadian itu menyebabkan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Melaka untuk lebih bersedia berdepan dengan insiden berkenaan menerusi siri latihan yang wajib yang wajib dilalui.
Walaupun dengan kesiap-siagaan yang rapi, insiden tumpahan minyak di perairan Tanjung Tuan yang menyaksikan pantai dan hutan paya bakau di Melaka dan Port Dickson bertukar hitam dan berbau busuk nyata mencabar fizikal dan mental para petugas.
Dan setakat semalam, lebih 100 petugas dari hampir 20 agensi kerajaan dan swasta telah menjalan aktiviti pembersihan di kawasan berkenaan yang turut melibatkan kawasan hutan paya bakau.
Keringat peluh jantan yang menitik tatkala dihujani panas terik dan permukaan pesisir pantai yang mencabar benar-benar menguji petugas di lokasi, semua dilakukan atas sifat kemanusiaan.
Menceritakan secara ringkas kejadian yang berlaku di lokasi, Timbalan Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Asmahani Ab Manan berkata, dia sendiri mengerah keringatnya agar ‘sang pengjahanam’ alam sekitar yang tidak berhati perut itu dihukum sekeras-kerasnya mengikut undang-undang.
Katanya, berdasarkan peristiwa 1996, JAS Melaka telah menjalani pelbagai latihan sebagai persiapan antaranya Pelan Pembersihan Pantai yang wajib difahami petugas agensi itu..
“Kali ini ia benar-benar berlaku. Amat mencabar terutama ketika kerja-kerja persampelan dilakukan agak menguji ketahanan diri dan mental, namun sebagai petugas kita perlu cekal berdasarkan pengalaman dalam latihan dilaksanakan.
“Bukannya mudah terutama ketika kerja-kerja persampelan dilakukan kerana saya perlu memanjat kapal untuk mendapatkan sampel minyak dan ketika itu hampir empat buah kapal perlu diselesaikan dalam sesebuah masa,” katanya ketika ditemui Melaka Hari Ini.
Sementara itu, Pengarah Bahagian Keselamatan Sekuriti dan Alam Sekitar, Jabatan Laut Malaysia Mohd Fairoz Rozali berkata, kes tumpahan minyak yang berlaku di perairan itu memberi kesan mendalam kerana ia melibatkan kawasan pesisiran pantai berbanding di tengah lautan.
Katanya, faktor geografi dan keadaan cuaca merupakan antara cabaran utama dan pihaknya bersama agensi pelaksana perlu merangka strategi menghadapi situasi terbabit.
“Pelbagai kaedah memerangkap minyak digunakan termasuk menyodok sendiri secara manual disebabkan faktor bentuk muka bumi di kawasan berbatu.
“Malah, setelah perangkap minyak (absorbent boom) di pasang kita perlu tunggu pula air laut pasang bagi memerangkap minyak dan disedut ke tangki yang disediakan,” katanya.
Dalam pada itu, Angkatan Pertahan Awam Malaysia (APM) hari ini memaklumkan seramai 115 petugas telibat dalam operasi pembersihan pantai dan hutan paya bakau yang membabitkan kawasan Melaka.
Menurut Pegawai Pertahanan Awam Daerah Alor Gajah, Kapten (PA) Aljibin Suddin, sisa buangan hasil pembersihan kawasan itu akan dikutip Pejabat Perhilitan.
Manakala, pemantauan air akan dilakukan untuk meninjauan keadaan ‘absorbent boom’ termasuk penggantian peralatan itu di kawasan paya bakau.
“Antara lain aktiviti pembersihan hari ini ialah pembersihan sampah dan kayu akan dilaksanakan termasuk ‘sweeping and scooping’ di zon B,” katanya