Machap Jaya kini jadi destinasi OOTD Melaka

Masa Membaca:2 Minit, 29 Saat

MACHAP JAYA 23 Januari – Idea kontemporari cetusan orang muda menjadikan Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap Jaya sebagai tapak OTD (Of The Day) atau OOTD (Outfit Of The Day) sehingga berjaya menarik limpahan pelancong dalam dan luar negeri.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata kehadiran pelancong ke lokasi yang terletak di kawasan luar bandar itu memberi impak yang sungguh memberangsangkan.

Katanya, lokasi OTD di Machap Umboo dan Machap Baru itu diusahakan sendiri dengan kerjasama penduduk-penduduk sekitar kawasan terbabit dan perkara itu wajar diberi penghargaan.

“Saya difahamkan, semua perhiasan diusahakan sendiri oleh penduduk-penduduk tempatan, guru-guru sekolah dan belia-belia daripada berbilang kaum yang berpegang dengan prinsip perpaduan.

“Mereka bukan sahaja berkorban masa dan tenaga, bahkan turut menyumbang bantuan dalam bentuk kewangan.

“Idea kontemporari daripada orang muda, DUN Machap berjaya menjadi satu lagi tapak ‘OTD atau digelar OOTD (Outfit Of The Day)’ yang kini sangat terkenal dalam kalangan generasi muda untuk bergambar yang secara tidak langsung, ia juga menjadi antara salah satu tarikan pelancongan di Melaka,” katanya.

Beliau berkata demikian pada ucapan perasmiannya sempena Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina Peringkat Negeri Melaka di Dewan Besar Kampung Permai Machap Umboo, di sini malam tadi.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Datuk Wira Zaidi Johari; Timbalan Menteri Pertahanan merangkap Ahli Parlimen Alor Gajah, Adly Zahari; Exco Perpaduan, Penerangan, Sumber Manusia dan Hal Ehwal Pengguna negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Machap Jaya, Ngwe Hee Sem.

Turut hadir, Exco Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan negeri, Datuk Muhammad Jailani Khamis; Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Zaidi Attan, Exco Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri VP Shanmugam; Adun Klebang Datuk Lim Ban Hong serta kenamaan lain.

IMG_20230124_001634_566
MACHAP JAYA 23 JANUARI 2023. Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama, Sulaiman Md Ali (tengah) bersama isteri Datin Seri Utama Munirah M. Yusop menggaul ‘Yee Sang’ pada Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina Peringkat Negeri Melaka di Dewan Besar Kampung Permai Machap Umboo, Alor Gajah. Turut serta, Timbalan Menteri Pertahanan merangkap Ahli Parlimen Alor Gajah, Adly Zahari , Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Datuk Wira Zaidi Johari, Exco Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan, Datuk Muhammad Jailani Khamis, Exco Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri VP Shanmugam (dua dari kanan) dan Adun Klebang, Datuk Lim Ban Hong. Foto: MR. AZLI

Mengulas lanjut, Sulaiman turut berbangga apabila Melaka menjadi destinasi kedua popular di Malaysia selepas Kuala Lumpur menerusi carian tertinggi pelancong di Asia sempena sambutan Tahun Baharu Cina.

Katanya, keputusan itu berdasarkan data carian platform percutian digital global Agoda.

“Menerusi satu artikel dari Buletin TV3, Malaysia muncul sebagai destinasi kedua pencarian tertinggi selepas Jepun.

“Artikel tersebut juga menyatakan bahawa Melaka yang terkenal dengan warisan budaya dan suasananya berada di kedudukan kedua muncul sebagai tempat pelancongan popular di Malaysia selepas Kuala Lumpur yang muncul sebagai tempat paling popular di Malaysia, diikuti dengan Pulau Pinang di tempat ketiga,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

3733
Kongsi :

One thought on “Machap Jaya kini jadi destinasi OOTD Melaka

Comments are closed.

Previous post Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina Melaka meriah!
Next post Gigih biak rama-rama kebangsaan
Ubah saiz-+=