Sorting by

×

Gigih biak rama-rama kebangsaan

Masa Membaca:1 Minit, 48 Saat

AYER KEROH 24 Januari – Jatuh cinta kepada kelembutan rama-rama mendorong Gerard Wong untuk mengembang biak spesis rama-rama yang kini semakin pupus meskipun sedar peluang dimiliki amat tipis.

Sedar apa diimpikan itu umpama ‘bercintakan geliga di mulut naga’, dia tidak pernah berputus asa dan berasa puas setiap kali dikelilingi ribuan rama-rama hasil usaha kerasnya terbang bebas di udara.

Pengarah Teknikalnya, Taman Rama-Rama dan Reptilia Melaka itu berkata, fasiliti berkenaan adalah satu-satunya pusat konservasi yang berjaya membiakkan spesis rama-rama kebangsaan Rajah Brooke’s Birdwing menerusi hasil kajian selama 20 tahun.

Katanya sejak tahun 2003 pelbagai kajian dilakukan untuk melindungi spesis rama-rama kebangsaan telah dilakukan.

Jelasnya, sehingga bulan lalu, pihaknya meraih kemanisan selepas berjaya membiakkan kira-kira 100 ekor rama-rama spesis Trogonoptera Brookiana itu.

“Bulan lalu, kita berjaya membiakkan spesis Rajah Brooke’s Birdwing ini dan ianya hanya berjaya selepas kita mengecam tumbuhan perumah spesis itu tiga tahun lalu.

“Berbeza daripada rama-rama spesis lain, Rajah Brooke’s Birdwing jangka hayatnya sehingga 28 hari berbanding rama-rama biasa antara 10 hingga 14 hari sahaja.

“Kebanyakan pokok-pokok perumah spesis ini hanya boleh didapati di hutan-hutan tebal seperti di Pahang, Perak dan Sabah.

“Tahun ini kita sasarkan untuk membiakkan sebanyak 1,000 ekor sebulan bagi spesis rama-rama kebangsaan ini,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Mengulas lanjut, Gerard berkata pihaknya juga telah menjalinkan kerjasama bersama sebuah universiti tempatan di Pahang dalam bidang Biodiversiti untuk menanam pokok perumah spesis rama-rama kebangsaan di sekitar pusat pengajian terbabit.

Menurutnya itu antara langkah yang diambil untuk memelihara tumbuhan perumah spesis rama-rama kebangsaan.

“Kami di sini (Taman Rama-Rama dan Reptilia Melaka) hanya mampu menanam tumbuhan perumah bagi spesis kebangsaan ini kurang 10 pokok sahaja di sini, maka pembiakan rama-rama spesis ini bergantung kepada pokok terbabit.

“Satu pokok perumah hanya boleh dihinggap kira-kira 4 hingga 6 rama-rama sahaja, jika pokok itu dicantas ia mengambil masa untuk mengeluarkan debunga, maka pembiakkan pada ketika itu dihentikan sementara,” katanya.

Untuk info, kira-kira 80 spesis merangkumi lebih 10,000 ekor rama-rama yang berada di Taman Rama-Rama dan Reptilia Melaka.

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1895
Kongsi :
Previous post Machap Jaya kini jadi destinasi OOTD Melaka
Next post 2023 tahun perhebat Melaka – KM
Ubah saiz-+=