Pegawai penjara maut tercampak dalam longkang

Masa Membaca:56 Saat

TABOH NANING 21 Januari – Seorang lelaki maut dan seorang lagi cedera dalam kemalangan membabitkan dua buah motosikal di Jalan Kampung Pak Alam, Simpang Ampat, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 10 malam itu, Ridzuan Saidin, 34 yang bekerja sebagai Pegawai Jabatan Penjara Satelit Simpang Ampat meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian dada.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah Superintendan Arshad Abu berkata, kemalangan berlaku kedua-dua penunggang motosikal berada pada laluan yang sama iaitu dari Brisu menuju ke Simpang Ampat.

Katanya, hasil siasatan awal mendapati, ketika di lokasi kejadian, mangsa yang menunggang Honda Wave telah melanggar belakang sebuah lagi motosikal yang dipandu pekerja kedai runcit berusia 21 tahun.

“Akibat pelanggaran itu, mangsa telah tercampak ke dalam longkang dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Manakala seorang lagi penunggang motosikal mengalami kecederaan di bahagian kepala dan dibawa ke Hospital Alor Gajah,” katanya.

Arshad berkata, mayat mangsa turut dibawa ke Hospital Alor Gajah dan pihaknya telah membuat permohonan untuk bedah siasat.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

5782
Kongsi :
Previous post Melaka perintis agro pelancongan buah tin – KM
Next post Lelaki ditahan disyaki cuba seleweng diesel bersubsidi
Ubah saiz-+=