Pemandu bas kantoi layan ganja

Masa Membaca:1 Minit, 34 Saat

PERINGGIT 21 Januari – Memandu bas di bawah pengaruh dadah menjadi antara kesalahan dikesan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Melaka dalam Operasi Penguatkuasaan Sempena Tahun Baharu Cina 2023.

Operasi dengan kerjasama Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Melaka itu dijalankan selama tiga hari bermula 18 hingga 20 Januari (semalam).

Pengarah JPJ Melaka Muhammad Firdaus Shariff berkata, hasil pemeriksaan yang dijalankan, seorang pemandu dikesan gagal ujian air kencing pertama apabila disyaki positif dadah jenis ganja.

Katanya, sepanjang operasi berkenaan, sebanyak 238 bas telah diperiksa dan dua lagi kesalahan turut dikesan dan diambil tindakan.

“Kesalahan pertama membabitkan bas ekspres dikesan pada 18 Januari apabila mendapati bas terbabit tidak mempunyai peti ubat kecemasan dan pemadam api.

“Kesalahan kedua pula dikesan hasil penyamaran dilakukan anggota JPJ pada 19 Januari, dengan menaiki bas dari Alor Setar, Kedah ke Melaka yang mendapati bas terbabit tiada pemandu kedua,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melakukan pemeriksaan penguatkuasaan di Terminal Bas Melaka Sentral, malam tadi, yang turut dihadiri Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasaan AADK Norliya Darus.

IMG-20230121-WA0005
PENGARAH JPJ Melaka Muhammad Firdaus Shariff menyampaikan bahan kempen operasi kepada pemandu bas di Terminal Melaka Sentral.

Mengulas lanjut, Muhammad Firdaus berkata, selain pemeriksaan di terminal bas, pihaknya turut melakukan rondaan dan pemeriksaan secara rawak di lebuh raya serta jalan utama terutamanya di 12 kawasan kerap kemalangan (KKK).

“Lokasi KKK yang dikenal pasti adalah di Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ), Jalan Mufti Haji Kalil, Jalan Batang 3/ Bukit Rambai/ Tanjung Minyak, Jalan Masjid Tanah, Jalan Tehel-Bemban dan Jalan Serkam.

“Enam lagi KKK adalah di Jalan Umbai, Jalan Sungai Udang, Jalan Rembia-Kendong, Jalan Lubuk Cina-Hutan Percha, Jalan Merlimau Jasin dan Jalan Gapam-Bemban,” katanya.

Ujarnya, turut diperiksa sepanjang tiga hari operasi adalah 258 motosikal dan hasilnya 69 diambil tindakan atas pelbagai kesalahan manakala lima motosikal turut disita.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1782
Kongsi :
Previous post Kandang terbakar, 13 ekor kambing rentung
Next post Melaka perintis agro pelancongan buah tin – KM
Ubah saiz-+=