Perhebat promosi, sasar 8.2 juta pelancong ke Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 7 Saat

AYER KEROH 20 Januari – Promosi berterusan dan tawaran pelbagai pakej pelancongan menarik diyakini mampu membantu Kerajaan Negeri mencapai sasaran 8.2 juta pelancong melawat Melaka sepanjang tahun ini.

Exco Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan negeri Datuk Muhammad Jailani Khamis berkata, berikutan itu pemain industri pelancongan digalakkan untuk meningkatkan pelaburan dengan menawarkan lebih banyak produk berkualiti.

Muhammad Jailani yakin jika perkara itu dilaksanakan ia akan menggalakkan pelancong untuk bermalam dan berbelanja lebih tinggi sepanjang berada di Negeri Melaka.

“Perlu ada nilai tambah dalam setiap produk dan perkhidmatan pelancongan ditawarkan. Biarlah pelancong menikmati pengalaman baru, segar, berkualiti, menarik dan berbeza berbanding sebelum ini.

“Secara tidak langsung usaha ini dapat mewujudkan peluang pekerjaan dengan meluaskan lagi kepakaran sedia ada,” katanya ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra Pelancongan Bersama Penggiat Industri Pelancongan Melaka 2023 di sebuah hotel, di sini, hari ini.

Hadir sama Pengurus Besar Bahagian Promosi Pelancongan (BPP) Melaka, Sa’ari Basiron; Pengarah Tourism Malaysia Wilayah Selatan, Muhamad Nasir Pahmi dan Presiden Persatuan Pelancongan Melaka (MTA), Madelina Kuah.

Katanya sepanjang 2022 Negeri Melaka menerima 6.04 juta pelancong berbanding 2.66 juta tahun sebelumnya.

Jelas beliau jumlah itu menunjukkan peningkatan lebih 3.37 juta pelancong atau sebanyak 126.76 peratus).

Menurutnya 5.63 juta orang adalah pelancong domestik manakala 406,517 atau 6.73 peratus adalah pelancong asing.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

3386
Kongsi :
Previous post Dua rentung treler terbakar di Lebuhraya Plus Seremban – Port Dickson
Next post Suri rumah rugi RM98,670 diperdaya skim bantuan prihatin
Ubah saiz-+=