Padah jual barang lebih tarikh luput

Masa Membaca:1 Minit, 39 Saat

AYER KEROH 20 Januari – Jabatan Kesihatan Negeri Melaka mengeluarkan kompaun bernilai lebih RM27,000 di atas pelbagai kesalahan Akta Makanan 1983 termasuklah barangan yang dijual sudah melepasi tarikh luput.

Pengarah Kesihatan Negeri Melaka Datuk Dr Rusdi Abd Rahman berkata, kesalahan itu dikesan pada Operasi Tahun Baharu Cina (Ops TBC) 2023 bermula 8 hingga 19 Januari.

Menurutnya, sepanjang operasi selama 12 hari itu, sebanyak 30 premis seluruh Melaka diperiksa Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM), termasuklah pasar raya, pasar mini dan kedai runcit.

“Hasil pemeriksaan ke atas premis-premis ini, BKKM mendapati terdapat premis yang masih mempamerkan barangan yang sudah melepasi tarikh luput di atas rak dan kesalahan pelabelan serta keadaan bungkusan yang rosak.

“Oleh itu, sejumlah 450 jenis barangan makanan bernilai RM2,381 dirampas dan sembilan kompaun berjumlah RM27,500 dikeluarkan kepada premis yang terbabit,” katanya.

tarikh luput tamat
ANTARA barang yang dikesan tamat tarikh luput di sebuah premis. Foto Jabatan Kesihatan Negeri Melaka

Beliau berkata, selain pemantauan keselamatan makanan, pihaknya turut melakukan pemeriksaan kebersihan premis makanan di negeri ini.

Jelasnya, sebanyak 83 buah premis termasuk gerai dan restoran telah diperiksa dan hasilnya 97 kompaun dibawah Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009 dikeluarkan dengan nilai RM26,650.

“Kesalahan yang dikesan adalah makanan diletak atau ditempatkan di atas lantai, tiada mempunyai suntikan dan tidak mempunyai kursus pengendali makanan serta tidak memakai apron.

“Namun tiada tindakan penutupan premis yang dibuat oleh Jabatan Kesihatan Negeri,” katanya.

Dalam pada itu, Rusdi berkata, sepanjang tahun lalu, pihaknya telah memeriksa sebanyak 5,081 premis makanan dan daripada jumlah itu 58 diarahkan tutup di bawah Seksyen 11 Akta Makanan 1983 selepas didapati kotor.

“Selain itu sejumlah 1,664 notis dibawah Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009 dikeluarkan dengan nilai keseluruhan berjumlah RM211,650,” katanya.

Justeru, beliau menasihatkan agar semua premis makanan termasuk restoran, kedai makan, gerai, kedai runcit dan pasar raya agar menjaga kebersihan premis selain memastikan barangan yang dijual tidak tamat tarikh luput.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

3224
Kongsi :
Previous post Kutipan sampah berjalan seperti biasa sepanjang Tahun Baharu Cina – SWM Environment
Next post Nenek 91 tahun ditemui mati, pemuda 20-an ditahan
Ubah saiz-+=