Aura ‘Little Beijing’ Melaka

Masa Membaca:3 Minit, 59 Saat

MACHAP JAYA 19 Januari – Semangat dan perasaan teruja penduduk Kampung Baru Machap Umboo menyambut kedatangan tahun arnab kali ini diterjemahkan dalam bentuk pelbagai perhiasan dan lampu warna-warni menerangi serta membangkitkan suasana ceria di penempatan itu pada waktu malam.

Arnab iaitu haiwan keempat dalam kitaran 12 haiwan yang bercirikan peka, bijaksana, berkelakuan baik, senang menerima tetamu, sopan, diplomatik dan berjiwa seni diharap membawa tuah besar kepada masyarakat Cina di Kampung Baru Machap Umboo.

Tidak keterlaluan jika dikatakan penempatan itu ketika ini umpama ‘Little Beijing’ berikutan suasananya yang ceria dan meriah.

Presiden Persatuan Buku Kampung Baru Machap Umboo, Ivy Lau, 44, berkata usaha menghias penempatan itu dengan lebih 3,000 lampu neon dan tanglung bersempena Tahun Baharu Cina dijayakan dengan kerjasama 10 Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) serta penduduk sendiri.

Katanya pada tahun ini dia bersama lapan ahli persatuannya diberi tugasan untuk menghias lorong jalan kaki sejauh 300 meter.

“Tahun lalu kita semua bekerjasama sebagai penduduk dan tahun ini hampir 300 penduduk di sini mewakili 10 NGO bersama-sama menghias Kampung Baru Machap Umboo dengan penambahan lokasi-lokasi untuk dihias.

“Penugasan diberikan mengikut NGO dan kami (Persatuan Buku Kampung Baru Machap Umboo) akan menghias lorong pejalan kaki mengikut tema iaitu tahun 2023 adalah tahun arnab.

“Jalan Lampu Langit sepanjang 150 meter ini juga antara tarikan utama, pengunjung gemar bergambar, di sini, hiasan ini mendapat sambutan pada tahun lalu dan kita hias kembali tetapi dengan susunan lebih baik,” katanya.

JALAN LAMPU LANGIT

Menurut Ivy, jalan tersebut dihias dengan kepelbagaian bentuk lampu hiasan dan tanglung berbentuk sfera, segi empat tepat yang ditulis kata-kata semangat untuk mendoakan kesejahteraan, kemakmuran dan pelbagai lagi perkara positif.

Jelasnya, lebih 100 tanglung dipasang sepanjang jalan tersebut yang terletak berhampiran Dewan Besar Kampung Permai Machap Umboo.

“Setiap tanglung yang digantung mempunyai perkataan yang membawa maksud seperti kegembiraan, membawa kejayaan, kemakmuran dan setiap perkataan adalah dipilih oleh penduduk sendiri.

“Kerja-kerja menghias sempena menyambut Tahun Baharu Cina sudah dimulakan sejak Oktober lagi,” katanya.

photo1673969923
Exco Negeri Perpaduan, Penerangan, Sumber Manusia dan Hal Ehwal Penggguna, Ngwe Hee Sem bergambar bersama orang ramai yang berkunjung ke Kampung Machap Umboo yang dihiasi dengan perhiasan lampu sempena sambutan Tahun Baharu Cina. Foto Iqmal Haqim Rosman

2023 TAHUN ARNAB

Menurut Ivy, perancangan sepanjang 2023 diharap berjalan lancar sesuai dengan sifat haiwan itu yang berlari dengan pantas.

Jelas Ivy, persatuannya memilih tajuk ‘Lorong Arnab’ dengan dinding di sepanjang jalan lorong terbabit di tampal dengan konsep ‘perjalanan arnab menuju ke tahun 2023’.

“Arnab sifatnya melompat dan laju, jadi konsep hiasan dinding di lorong ini adalah arnab menuju ke tahun 2023.

“Seterusnya melompat ke arah laluan Jalan Lampu Langit yang membawa pelbagai perkara-perkara baik,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

KAMPUNG TIGA TOKONG

Tinjauan Melaka Hari Ini ke Kampung Baru Machap Umboo tidak hanya tertumpu di Jalan Lampu Langit sahaja, tiga tokong yang bersebelahan dewan utama turut menjadi tumpuan pengunjung.

Menurut Penasihat Persatuan Penduduk Kampung Baru Machap Umboo, Datuk Yap Yong Leong, 53, meskipun pengunjung memanggilnya ‘tiga tokong’ namun bukan semuanya adalah tokong.

Yong Leong berkata, bersebelahan dewan utama adalah Rumah Pengerusi Berhala Datuk Ah Fu Lee, manakala di bahagian tengah adalah Rumah Persatuan Buddha Chey Tian Thye Seng dan paling hujung adalah Rumah Persatuan Buddha Machap Umboo.

“Dengan pelbagai hiasan dan pelbagai motif tanglung dihias sekitar Kampung Baru Machap Umboo, kita harapkan lebih ramai pengunjung luar dan dalam negara ke sini.

“Ada orang luar tidak tahu kampung ini, tapi lebih kenal kampung tiga tokong, tidak mengapa, kerana apabila ramai pengunjung hadir ke kampung ini, peniaga turut mendapat tempias, sekali gus mampu membantu penduduk yang menjalankan perniagaan.

“Jika dilihat hiasan setiap rumah persatuan juga berbeza-beza, ada yang bermotifkan tanglung sahaja, ada juga motif bunga teratai dan pengunjung perlu merasai sendiri keindahan hiasan serta cahaya lampu di sini,” katanya.

3
TANGLUNG bermotifkan bunga teratai memenuhi Rumah Persatuan Budha Kampung Baru Machap Umboo

IKON PELANCONGAN MELAKA

Sementara itu Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Machap Jaya, Ngwe Hee Sem berkata Kampung Machap Umboo dan Machap Baru terkenal dengan jolokan ‘Little Beijing’ apabila setiap kali menjelang Tahun Baru Cina.

Beliau yang juga Exco Perpaduan, Penerangan, Sumber Manusia dan Hal Ehwal Pengguna negeri berkata, usaha penduduk kampung terbabit wajar menjadi contoh kepada penempatan lain.

Katanya, kerja menghias dan mengindahkan kampung berkenaan dilakukan secara gotong-royong oleh penduduk.

“Kita melihat kampung yang terkenal dengan jolokan Little Beijing ini berpotensi menjadi antara ikon pelancongan Melaka pada masa akan datang.

“Pelancongan bermusim, musim Tahun Baru Cina sahaja pasti meriah dan pada tahun ini saya sendiri menyumbangkan RM5,000 untuk menjayakan hasrat penduduk.

“Setiap kali sambutan Tahun Baru Cina juga, ramai pengunjung tidak akan melepaskan peluang yang pernah datang pasti akan datang lagi ke kampung ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

3080
Kongsi :
Previous post Siasatan kebakaran Wisma Jakel di peringkat akhir, tiada unsur jenayah ditemukan
Next post Melaka aktifkan semula Majlis Keselamatan Jalan Raya
Ubah saiz-+=