Tolong jaga diri, keluarga sepanjang musim perayaan – KM
LENDU 15 Januari – Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali menasihatkan kepada seluruh rakyat di negeri ini supaya menjaga diri dan keluarga, selain mengamalkan penjarakan fizikal sepanjang musim perayaan.
Beliau berkata, walaupun walaupun arahan penjarakan fizikal tidak lagi diwajibkan, namun kesedaran itu perlu diamalkan oleh setiap rakyat bagi membendung penularan COVID-19, lebih-lebih lagi berlaku peningkatan kes di beberapa negara pada ketika ini.
Malah beliau berkata, rakyat di negeri ini juga digalakkan memakai pelitup muka terutama apabila berada di tempat awam dan tempat tertutup terutamanya sepanjang Tahun Baharu Cina tidak lama lagi.
“Biarpun tiada penguatkuasaan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berhubung perkara ini tapi kita harap agar rakyat di negeri ini mematuhi perkara ini kerana kerisauan kita adalah pada penyebaran wabak yang berlaku hari ini.
“Lebih-lebih lagi saban hari Melaka semakin menerima kedatangan kemasukan pelancong yang semakin meningkat, jadi kita perlu menasihatkan agar rakyat sentiasa berwaspada dengan situasi yang berlaku ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Program Sumbangan Perayaan Tahun Baharu Cina Negeri Melaka 2023 di Kompleks Japerun Lendu, di sini, hari ini.
Hadir sama, Exco Hal Ehwal Wanita, Pembangunan Keluarga dan Kebajikan negeri Datuk Kalsom Nordin; Exco Perpaduan, Penerangan, Sumber Manusia dan Hal Ehwal Pengguna negeri Ngwe Hee Sem; Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Linggi Rosli Abdullah; Pegawai Kewangan Negeri Datuk Salhah Salleh; Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Melaka Burhanuddin Bachik dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG), TPr. Saifuddin Abdul Karim.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.