Sorting by

×

Nak balik kampung jangan lupa isi VSP

Masa Membaca:1 Minit, 32 Saat

BANDA HILIR 14 Januari – Penduduk Negeri Melaka yang bercadang pulang ke kampung atau bercuti panjang pada musim perayaan Tahun Baharu Cina disarankan untuk memuat turun aplikasi ‘Volunteer Smartphone Parol’ (VSP) bagi memaklumkan pergerakan mereka.

Ketua Polis Melaka Datuk Zainol Samah berkata, aplikasi itu membantu pihaknya mengenal pasti kediaman tidak berpenghuni dan menjalankan rondaan cegah jenayah dengan lebih sistematik serta berkesan.

Zainol berkata, selepas memuat turun VSP pemilik kediaman hanya perlu mengisi butiran sama seperti pada borang fizikal yang diperkenalkan sejak lima tahun lalu.

Menurutnya menggunakan aplikasi boleh dimuat turun di ‘Google Play’ atau ‘Apple Store’ itu, orang ramai memiliki akses untuk menghantar video, gambar dan butiran lokasi kepada pihak polis jika berlaku sebarang kejadian yang tidak diingini.

“Berdasarkan statistik Januari hingga Disember 2022 seramai 1,037 pengguna VSP melaporkan pergerakan mereka yang keluar bercuti pada musim perayaan atau meninggalkan rumah bagi tempoh yang panjang.

“Sementara itu mengikut kajian dilaksanakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak ada laporan kes pecah rumah membabitkan pemilik premis atau kediaman memaklumkan pergerakan mereka menggunakan VSP,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Kempen Cegah Jenayah dan Rumah Selamat Sempena Tahun Baharu Cina di Jonker Street, di sini, malam tadi.

Hadir sama, Timbalan Ketua Polis Melaka, Datuk Razali Abu Samah, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu dan Pemangku Ketua Polis Daerah Jasin, Asisten Superintendan Mohd Fadzli Othman.

Turut hadir, Pengerusi Jonker Street Datuk Wira Gan Tian Loo dan Lions District Governor Lions Club Zon Tengah, Dorothy Ong.

Jelasnya Unit Rondaan Bermotosikal (URB) Polis Melaka akan meningkatkan rondaan sekitar kediaman tidak berpenghuni sepanjang musim cuti perayaan Tahun Baharu Cina hujung bulan ini.

“Setakat malam tadi, Polis Daerah Melaka Tengah menerima sebanyak 150 borang balik kampung daripada pemilik premis dan kediaman,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1696
Kongsi :
Previous post Ada peniaga masih degil, gagal pamer tanda harga
Next post Polis sedia hadapi peningkatan kenderaan masuk ke Melaka
Ubah saiz-+=