Suami isteri antara 13 ditahan dalang sindiket edar dadah

Masa Membaca:1 Minit, 11 Saat

JOHOR BAHRU, 10 Jan – Sepasang suami isteri antara 13 individu yang ditahan kerana dipercayai menjadi dalang sindiket pengedaran dadah, dalam serbuan berasingan bermula Sabtu lepas hingga awal pagi tadi di sekitar Kulai dan Iskandar Puteri.

Ketua Polis Johor Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata suami isteri berusia 33 dan 29 tahun, serta tujuh lelaki dan empat wanita tempatan berusia antara 21 dan 55 tahun itu, ditahan dalam operasi khas Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Johor bermula 6 petang pada Sabtu dan berakhir 2 pagi tadi.

Beliau berkata turut dirampas dalam serbuan itu sebanyak 74.85 kilogram (kg) ketulan mampat ganja, 1,643 biji pil ecstacy, 9.29 kg heroin dan 171 gram ketamin yang kesemuanya bernilai RM362,022.

“Pasangan itu ditahan di sebuah rumah di Senai pada Sabtu, sebelum tangkapan susulan dibuat (melibatkan 11 individu).

“Kegiatan pengedaran dadah ini dipercayai aktif sejak Oktober tahun lepas dan modus operandi adalah dengan menjadikan rumah dan kereta sebagai transit stor penyimpanan dadah,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Kamarul Zaman berkata dadah berkenaan yang dipercayai diperoleh dari negara jiran termasuk Thailand, diedarkan untuk pasaran tempatan dan luar negara.

Menurutnya turut dirampas tujuh kereta bernilai RM291,000 dan tiga motosikal bernilai RM18,300 serta barangan kemas bernilai RM10,650.

Kesemua individu itu, katanya direman tujuh hari bermula 8 Jan dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

— BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2021
Kongsi :
Previous post Kapal kargo MV Dai Cat 06 hilang di perairan Indonesia
Next post Kes letupan di Ampang, reman suami isteri disambung tujuh hari – Polis
Ubah saiz-+=