Isteri temui ajal pulang menoreh, suami parah

Masa Membaca:1 Minit, 4 Saat

ALOR GAJAH 9 Januari – Seorang wanita warga emas maut manakala suaminya parah selepas motosikal dinaiki hilang kawalan sebelum merempuh belakang lori yang diparkir tepi jalan di Jalan Tebong berhampiran Sekolah Menengah Kebangaan (SMK) Tebong di sini awal pagi semalam.

Mangsa, Wong Mei Lian, 61 yang membonceng motosikal jenis Honda maut ketika menerima rawatan di Hospital Alor Gajah manakala suaminya yang menunggang motosikal berusia 62 tahun parah dalam kejadian pada jam 4.40 pagi.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu berkata, siasatan awal mendapati wanita berkenaan bersama suaminya dalam perjalanan pulang dari menoreh getah dari arah Gemencheh menghala ke pekan Tebong.

Katanya, sebaik tiba di lokasi kejadian motosikal dinaiki kedua-duanya hilang kawalan sebelum terbabas dan merempuh belakang lori yang diparkir di bahu jalan berhadapan sekolah terbabit.

“Akibat rempuhan itu, pembonceng motosikal parah di kepala dan kaki manakala penunggangnya yang juga suami mangsa patah kaki dan tangan,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, kedua-duanya dibawa ke Hospital Alor Gajah oleh ambulans untuk rawatan lanjut namun wanita berkenaan disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan.

“Bedah siasat ke atas mangsa dilakukan di hospital sama manakala  suaminya dipindahkan ke Hospital Melaka untuk rawatan lanjut.

“Siasatan masih diteruskan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

3579
Kongsi :
Previous post Pensyarah universiti rugi RM1.3 juta diperdaya Macau Scam
Next post Lima gerai medan selera di Bukit Baru musnah
Ubah saiz-+=