Sorting by

×

Suami isteri dalang seludup dadah RM3.82 juta berdepan tali gantung

Masa Membaca:2 Minit, 24 Saat

JASIN 6 Januari – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menumpaskan sindiket penyeludupan dan pengedaran dadah dengan rampasan bernilai RM3.82 juta dalam empat serbuan di sekitar Melaka dan Selangor , pada 4 Januari lalu.

Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Samah berkata serbuan hasil kerjasama antara Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman dan JSJN Melaka itu, pihaknya berjaya menahan dua pasangan suami isteri dipercayai dalang sindiket terbabit.

“Serbuan pertama di Serkam, polis menahan dua lelaki dan seorang wanita berusia 37 hingga 43 tahun yang berada dalam dua kenderaan di hadapan sebuah rumah sebelum pemeriksaan lanjut di premis terbabit menemukan seorang lagi lelaki dan wanita masing-masing berusia 28 dan 43 tahun.

“Manakala serbuan kedua dan ketiga, polis menahan dua lelaki berusia 39 dan 47 tahun di Permatang Serai dan Kampung Pulai, Merlimau manakala seorang lagi suspek berusia 48 tahun ditahan di Kota Damansara, Selangor.

“Dalam semua serbuan itu, kita berjaya merampas dadah syabu anggaran berat 82.64 kilogram (kg) bernilai RM2.975 juta dan ekstasi dianggarkan seberat 16.62kg dengan nilai RM 831,000, sekaligus keseluruhan nilai rampasan dadah berjumlah RM3.806 juta,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Jasin, di sini hari ini yang turut dihadiri Ketua JSJN negeri, Superintendan Hairy Ramlan serta Pemangku Ketua Polis Daerah Jasin, Asisten Superintendan Mohd Fazdli Othman.

photo_2023-01-06_13-07-20
Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Samah (kiri) bersama pegawainya menunjukkan kenderaan yang disita selepas sidang akhbar mengenai kejayaan polis menumpaskan sindiket pengedaran dadah syabu dan pil ekstasi di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Jasin. Foto: MR. AZLI

Mengulas lanjut, beliau berkata hasil risikan mendapati aktiviti pengedaran dadah oleh sindiket itu dikesan aktif sejak awal tahun 2022 dan dadah yang dirampas itu boleh digunakan oleh seramai 835,700 orang penagih dadah.

Zainol berkata, dalam serbuan itu pihaknya turut menyita harta milik sindiket termasuk empat kereta, tiga motosikal, barang kemas, wang kertas mata wang asing serta wang tunai bernilai RM2,114.40, yang keseluruhan nilai sitaan berjumlah RM283,770.60.

Jelasnya, ia sekaligus menjadikan nilai keseluruhan rampasan dadah dan harta yang disita bernilai RM 4.089 juta.

“Semakan mendapati dua daripada enam suspek memiliki rekod jenayah lampau membaitkan jenayah dan dadah manakala hasil ujian saringan air kencing terhadap semua suspek adalah negatif.

“Semua suspek direman selama tujuh hari bermula 5 hingga 11 Januari ini.

“Dengan tertumpasnya sindiket ini, pihak polis telah berjaya menumpaskan sindiket penyeludupan dan pengedaran dadah antarabangsa pertama di Melaka tahun ini.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan jika disabitkan kesalahan boleh dihukum dengan hukuman mati, hendaklah juga dihukum dengan sebatan yang tidak kurang daripada 15 sebatan jika disabitkan kesalahan,” katanya.

Katanya, pihak polis berharap masyarakat akan terus menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti pengedaran dadah yang berlaku di sekeliling mereka dan maklumat itu boleh disalurkan melalui Hotline JSJN di talian 012-2087222.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

5672
Kongsi :
Previous post KKM tawar 4,914 jawatan tetap tahun ini – Dr Zaliha
Next post Kesiapsiagaan KKM hadapi COVID-19 diperjelas 10 Jan
Ubah saiz-+=