Program selawat jadi acara ulang tahun setiap PBT Melaka – Exco
AYER KEROH 31 Disember – Kerajaan Negeri bersetuju mengangkat program berselawat sebagai acara ulang tahun setiap Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Negeri Melaka.
Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Zaidi Attan berkata, program selawat itu dipilih memandangkan ia mendapat reaksi positif dalam kalangan rakyat Melaka.
“Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali telah bersetuju untuk mengadakan program khas untuk semua PBT dalam Melaka melaksanakan program berselawat pada hari ulang tahun PBT masing-masing.
“Cuma pelaksanaan program khas itu kita akan lihat lebih terperinci dan meneliti serta melihat pada keperluan sebelum pelaksanaannya.
“Seperti sebelum ini, Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) juga telah membuat program berselawat, dan mendapat sambutan, jadi malam tadi adalah program berselawat sempena ulang tahun ke-13 Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ), sekaligus menjadi acara penutup PBT Melaka tahun 2022,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Program Malam Cinta Rasul Melaka Serambi Madinah di Dataran Sejarah Ayer Keroh, di sini, malam tadi.
Majlis itu turut diserikan dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Seri Setia Mohd Ali Mohd Rustam; Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali bersama isteri, Datin Seri Utama Munira M. Yusop dan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), Datuk Zaidi Johari serta kenamaan lain.
Majlis yang berlangsung selama enam jam di Dataran Sejarah Ayer Keroh itu dibanjiri kira-kira 100,000 pengunjung terdiri daripada pelbagai lapisan umur dan latar belakang.
Dalam pada itu, Zaidi turut tidak menolak kemungkinan acara kerohanian seperti itu akan turut dimasukkan ke dalam kalender pelancongan Negeri Melaka.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.