Sorting by

×

Melaka batal sambutan ambang tahun baharu

Masa Membaca:1 Minit, 17 Saat

AYER KEROH 23 Disember – Sambutan Malam Ambang Tahun Baharu 2023 yang sepatutnya dijadual pada 31 Disember di Taman Seribu Bunga, di sini, dibatalkan.

Exco Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan negeri Datuk Muhammad Jailani Khamis berkata, perkara itu diputuskan selepas mengambil kira musibah banjir yang melanda Pantai Timur Semenanjung Malaysia.

“Dalam keadaan berduka, kita rasa tidak wajar untuk kita menyambut tahun baharu dan kebetulan ia sealiran dengan keputusan Kerajaan Persekutuan yang turut sama membatalkan penganjuran itu.

“Bagi menggantikan sambutan ambang tahun baharu, kita mungkin merancang untuk mengadakan doa selamat atau acara berbentuk kerohanian bagi mendoakan keselamatan rakyat Malaysia, khususnya di Pantai Timur yang sedang berduka.

“Pada masa sama, kita juga sedang merancang keupayaan dari sudut tenaga kerja dan kesukarelawanan dalam membantu mangsa banjir di sana sekiranya diperlukan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Penganjuran Pesta Bunga Melaka 2022 di Taman Seribu Bunga, di sini, hari ini.

Hadir sama Pengurus Besar Bahagian Promosi Pelancongan (BPP) Melaka Sa’ari Basiron dan Pengarah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia Negeri Melaka (MOTAC) Yeow Chin Chai.

Dalam perkembangan lain, Muhammad Jailani memaklumkan, pihaknya kini sedang menunggu data dan statistik jumlah kehadiran pelancong ke Melaka sepanjang tahun 2022 daripada pengusaha hotel, pusat hiburan dan rekreasi serta outlet pelancongan.

Katanya, pengumuman rasmi mengenai jumlah kedatangan pelancong tahun ini dijangka akan dapat diketahui pertengahan Januari depan.

“Insya-Allah, saya yakin kita dapat mencapai sasaran 5.6 juta pelancong seperti yang ditetapkan dan untuk tahun depan, kita akan bersedia untuk terus memangkin kehadiran pelancong ke negeri ini,” ujarnya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

3707
Kongsi :
Previous post Tanah runtuh: Usaha cari mangsa terakhir diteruskan pagi ini
Next post Bomba kerah dua helikopter ke kawasan terputus hubungan di Pantai Timur
Ubah saiz-+=