Sorting by

×

Tragedi Batang Kali: Tiga mayat bersama abu tiba di Machap Baru

Masa Membaca:1 Minit, 6 Saat

MACHAP JAYA 22 Disember – Empat beranak yang maut dalam tragedi tanah runtuh di Batang Kali selamat tiba di kediaman waris mereka di Machap Baru, di sini, jam 3.45 petang tadi.

Ketibaan mayat Lai Chee Sam, Lai See Ting dan anak mereka berusia enam serta dua tahun diiringi kira-kira 50 ahli keluarga mendiang.

Hadir sama memberi penghormatan terakhir dan mengucapkan takziah ialah Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu.

Ketua Kampung Machap Baru, Micheal Tai berkata, berdasarkan maklumat waris, anak perempuan mendiang yang berusia enam tahun sudah dibakar mengikut upacara yang ditetapkan di Tanah Perkuburan Cina Kesang, Jasin, semalam.

Manakala, upacara membakar tiga lagi mayat mangsa tragedi itu akan dilakukan pada 27 Disember ini di lokasi sama.

Terdahulu, suasana pilu menyelubungi perkarangan kediaman keluarga mendiang yang tidak dapat membendung perasaan sedih selepas kehilangan empat waris serentak dalam satu masa.

Seawal jam 2 petang, pengamal media daripada pelbagai agensi berkumpul di kawasan perumahan keluarga mendiang.

Sebelum ini, media melaporkan, mayat mendiang Lai Chee Sam ditemui pada 18 Disember lalu diikuti isteri dan anak lelakinya berusia dua tahun pada keesokan harinya.

Manakala, mayat anak perempuan mereka berusia enam tahun ditemui pada 20 Disember.

Setakat hari ini, 30 mangsa disahkan terkorban dan satu masih hilang, manakala 61 mangsa berjaya diselamatkan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

5904
Kongsi :
Previous post Sekretariat tetap tangani isu kos sara hidup ditubuhkan
Next post Konvoi Kembara NGO Seni Budaya promosi seni, budaya tempatan
Ubah saiz-+=