Jangan terpedaya kanta lekap kosmetik
AYER KEROH 14 Okt. – Orang ramai dinasihatkan tidak terpedaya dengan penggunaan kanta lekap kosmetik bagi tujuan kecantikan semata-mata.
Ketua Pegawai Eksekutif Eyecon Group Sdn. Bhd., Datuk Dr. Murphy Chan berkata, perkara itu sangat serius dan tidak boleh dipandang ringan.
Menurutnya, pengguna kanta lekap kosmetik perlu sedar bahawa kanta lekap tersebut boleh mendatangkan kemudaratan.
“Kanta lekap tidak berkualiti dan tidak mengikut prosedur boleh menjadi punca mata seseorang itu rosak.
“Atas faktor ini, kami di Eyecon mahu mengingatkan mereka di luar sana supaya tidak terjebak dengan penggunaan kanta lekap kosmetik.
“Mereka sewajarnya datang ke kedai-kedai yang menyediakan perkhidmatan kanta lekap untuk mendapatkan produk terbaik,” katanya.
Beliau yang juga Naib Pengerusi Asia Optometric Congress menyifatkan, penggunaan kanta lekap kosmetik tidak memberi sebarang kebaikan.
“Tidak hanya kanta lekap, kaca mata juga seharusnya yang diiktiraf sahaja digunakan.
“Ada di antara pengguna-pengguna ini gemar ambil mudah dengan memilih kaca mata murah.
“Sebenarnya ini mempunya risiko terhadap mata mereka,” katanya.
Murphy Chan juga tidak menggalakkan pembelian kaca mata dan kanta lekap menerusi atas talian.
“Jangan mudah percaya aplikasi atas talian, kita sendiri tidak tahu bagaimana kualiti produk yang sampai nanti.
“Saya nasihatkan jumpa pakar mata yang sebenar supaya anda tidak menyesal kemudian hari,” katanya.