Kesedaran wanita Melaka cegah kanser semakin tinggi – Kalsom
PENGKALAN BATU 17 Disember – Menyedari bahayanya kanser, kaum wanita di Melaka semakin peka dan berani tampil menjalani pemeriksaan kesihatan.
Exco Hal Ehwal Wanita, Pembangunan Keluarga dan Kebajikan negeri Datuk Kalsom Noordin berkata, meskipun sebelum ini maklum balas yang diterima agak kurang, namun selepas program turun padang dijalankan, kesedaran diterima menunjukkan reaksi positif.
Beliau berkata, sepanjang tahun ini Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) dengan kerjasama Kerajaan Negeri menyediakan sejumlah kuota untuk wanita di Melaka menjalani pemeriksaan percuma menerusi Program Saringan Kanser Serviks (Ujian HPV DNA) dan Mamogram.
“Sepanjang tahun ini kita sasarkan seramai 1,600 orang tampil melakukan pemeriksaan Saringan Kanser Serviks (Ujian HPV DNA) sehingga November dan jumlah yang tampil seramai 1,058.
“Manakala untuk Mamogram pula kita sasarkan 1,850 dan yang sudah datang menjalani pemeriksaan seramai 1,755 sehingga bulan lalu.
“Tidak dinafikan, pada awalnya agak perlahan namun selepas LPKKN turun ke kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) menyertai program dianjurkan lebih ramai yang tampil,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program Kesedaran Kanser Reproduktif Wanita (WCare) Peringkat Japerun Pengakalan Batu, hari ini.
Kalsom berkata, program pemeriksaan kanser itu akan terus diperluaskan dalam membantu kaum wanita menjalani kehidupan yang sihat.
“Saya amat berharap kaum adam atau lelaki untuk sama membantu memainkan peranan aktif sebagai pendorong kepada isteri dan ahli keluarga wanita.
“Segala kemudahan sudah tersedia jadikan gunakan peluang yang ada ini untuk melakukan pemeriksaan secara percuma,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.