Peluru tak lut di badan Md Ali
SERKAM 16 Disember – “Apa yang dipegang kalau bukan musuh yang mati, diri sendiri akan mati jadi hati perlu kental ketika berdepan dengan musuh,” itu kata veteran komando Md Ali Ahmad.
Md Ali, 71, adalah komando termuda yang dianugerahkan Pingat Gagah Berani (PGB) pada 1974 selepas pasukannya berjaya menewaskan komunis ketika diserang hendap dalam misi Op Gonzales di Bukit Siput, Perak.
Menurutnya, sepanjang 21 tahun berkhidmat dalam tentera sudah pasti pelbagai cabaran dan pertempuran dilaluinya malah turut berdepan detik pilu apabila ada di antara rakan seperjuangan ‘gugur di medan perang’.
“Memang tidak sangka saya antara yang terpilih untuk dianugerahkan PGB kerana kebanyakkan yang dapat adalah mereka yang bertempur di Sarawak tetapi untuk misi Op Gonzales di Bukit Siput, hanya dua orang sahaja termasuk saya.
“Operasi itu antara misi yang saya ingat, kerana ketika itu kami seramai 28 orang dibahagikan kepada dua pasukan yang mana pasukan saya melalui bukit manakala satu lagi melalui sungai.
“Kami diserang hendap waktu itu, selalunya apabila berada dalam situasi begitu jarang boleh melakukan serangan balas terhadap musuh tetapi kami dapat lakukan dan saya sendiri dapat tembak tiga orang,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Serkam.
Bekas Polis Tentera (MP) dan bertugas di Cawangan Penyiasatan Khas itu berkata dia mula menyertai tentera pada umur 19 tahun dengan menyertai unit meriam sebelum membuat keputusan untuk menyarung beret hijau.
“Alhamdulillah, sepanjang bertempur dan berkhidmat tiada satu peluru pun yang terkena badan, mungkin peluru tidak mahu badan saya. Ini juga mungkin disebabkan latihan yang dilalui membuatkan ‘hati kering’, yang difikir kalau musuh serang kita lawan balik.
“Walaupun kini sudah lagi tidak berkhidmat, saya amat kecewa apabila ada yang mengatakan kerja tentera ini cuma makan dan tidur sahaja.
“Tahukah mereka apa yang kami lalui ketika bertempur dengan komunis untuk pertahankan negara sehingga ada yang terkorban,” katanya.
Menurut bapa kepada lapan anak itu, meskipun sudah bersara sejak 1991 namun semangat juangnya masih tinggi seperti dulu selain masih berhubung dengan rakan seperjuangan yang masih ada.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.