Sorting by

×

Sedia 2,000 AED tangani serangan jantung di tempat awam

Masa Membaca:1 Minit, 12 Saat

SERI NEGERI 14 Disember – Kerajaan Negeri menyasarkan sebanyak 2,000 alat defibrilator luaran automatik (AED) dipasang di seluruh negeri dalam tempoh lima tahun ke hadapan sekali gus membantu rakyat yang mengalami serangan jantung di tempat awam.

Exco Kesihatan dan Anti Dadah negeri, Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, bagi meneruskan inisiatif itu satu Jawatankuasa MyHeart yang akan mengendalikan AED tersebut diwujudkan bermula tahun hadapan.

“Insya-Allah bermula tahun hadapan mewujudkan Jawatankuasa MyHeart Negeri Melaka yang akan mengendalikan seluruh negeri, kita sasar dalam tempoh lima tahun ini kita akan tambah sekurangnya sebanyak 2,000 AED sekitar negeri.

“AED ini dapat membantu pelancong yang datang ke Melaka yang tiba-tiba kena serangan jantung, AED ini telah dikenalpasti peluang atau peratusan menyelamatkan nyawa pesakit jauh lebih tinggi jika kena serangan jantung,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Khaidhirah Abu Zahar (BN-Rim) mengenai inisiatif menyelamatkan pesakit yang terkena serangan jantung di tempat awam pada hari ketiga Persidangan Keempat (Bajet), Penggal Pertama, Dewan Undangan Negeri Yang Kelima Belas di Dewan Undangan Negeri di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Muhamad Akmal meminta semua agensi Kerajaan Negeri mahupun jabatan pendidikan untuk berkolaborasi melaksanakan inisiatif tersebut dalam memberikan latihan kepada rakyat.

“Bukan sahaja kita tempatkan AED, malah kita minta kolaborasi dengan jabatan pendidikan dan semua agensi untuk kita latih rakyat, sekurangnya mereka tahun untuk guna AED, latihan CPR atau gunakan ‘first aid’ yang betul,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1731
Kongsi :
Previous post Naik taraf bulatan Lubok China pada tahun hadapan
Next post Warga emas di Melaka tidak terpinggir – Exco
Ubah saiz-+=