Sorting by

×

Sidang DUN: Dr. Mohd Yazil Ketua Pembangkang Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 36 Saat

SERI NEGERI 13 Disember – Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Melaka, Dr. Mohd Yadzil Yaakob dilantik sebagai Ketua Pembangkang bagi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bemban itu menggantikan Adun Bukit Katil yang juga Ahli Parlimen Alor Gajah, Adly Zahari yang menyertai blok kerajaan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Adly berkata perubahan itu turut berlaku pada susunan Adun yang mewakili PH dalam kedudukan sidang DUN ke-15 bermula semalam.

“Di peringkat negeri, PH telah mengadakan perbincangan dengan Barisan Nasional (BN) negeri dan hasil perbincangan itu, Adun PH diterima sebagai sebahagian Adun di peringkat kerajaan.

“Ini melalui sedikit perubahan pada susunan Adun dan juga pelantikan baharu Ketua Pembangkang yang diambil alih oleh PN,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Persidangan Keemapt (Bajet), Penggal Pertama, DUN Melaka Ke-15 di Bilik Tun Mutakhir, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Adly yang juga Timbalan Menteri Pertahanan berkata, pihakya menyambut baik kerjasama perpaduan antara PH dan BN yang turut dilaksanakan di peringkat Negeri Melaka serta berharap hasil kerjasama itu mampu membentuk kerajaan stabil.

“Kerjasama Kerajaan Perpaduan bukan sahaja dilakukan di peringkat Persekutuan, tetapi diwujudkan di negeri Pahang dan Perak serta di Melaka.

“Harapan kita dalam tempoh singkat banyak penakrifan yang kita buat tetapi saya yakin hasrat itu hanya satu. Kita mahu memastikan kerajaan ini stabil dan pada masa sama boleh merangka dan merancang untuk tempoh empat atau lima tahun akan datang bagi memastikan program berkaitan rakyat dapat dilaksanakan,” katanya.

Sementara itu Dr. Mohd Yazil ketika ditemui berkata, perubahan berlaku sudah dimaklumkan kepada Speaker DUN Melaka, Datuk Wira Ibrahim Durum.

“Memandangkan pada saat sekarang boleh dikatakan disahkan oleh Pengerusi PH negeri sendiri, jadi secara automatik saya bersama Dr. Mohd Aleef Yusof (Adun Sungai Udang) pembangkang di Melaka,” katanya.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka tahun lalu, BN memenangi 21 kerusi daripada 28 yang dipertandingkan manakala PH memenangi lima kerusi dan PN memiliki dua kerusi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

3816
Kongsi :
Previous post Sidang DUN: Adly garis tiga teras utama bantu Menteri Pertahanan
Next post Sidang DUN: Karnival Kerjaya ‘jentera’ basmi pengangguran
Ubah saiz-+=