Sorting by

×

Sidang DUN: ‘Jangan balik awal seperti Jerman’ – KM

Masa Membaca:1 Minit, 56 Saat

SERI NEGERI 12 Disember – Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali mengingatkan semua wakil rakyat agar bekerja lebih keras dalam memenangi hati rakyat selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Katanya, wakil rakyat boleh mengambil pengajaran dalam saingan Piala Dunia sedang berlangsung yang menyaksikan pasukan-pasukan pilihan seperti Jerman dan Sepanyol yang terpaksa akur pulang awal.

Jelasnya, faktor terlalu yakin dan rasa selesa menjadi antara faktor yang membawa kegagalan yang mana ia dapat dilihat pada PRU15 lalu apabila Barisan Nasional (BN) gagal memenangi walau satu kerusi Parlimen.

“Bayangkan pasukan pilihan seperti Brazil pun boleh kalah…This is ‘wake up call’ daripada rakyat, amaran dan peringatan ini perlu kita ambil perhatian serius.

“Saya bercakap kepada diri sendiri, Sulaiman, ‘you have to work harder’ kalau tidak saya juga ‘balik awal’. Begitu juga dengan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) dan barisan kepimpinan negeri yang lain. Semua kena kerja keras jika tidak mahu balik awal seperti Jerman.

“Kita tiada pilihan lagi, melainkan perlu kerja lebih rajin, turun padang dan dengar masalah rakyat, dekati, santuni anak muda, paling penting selesaikan masalah mereka.

“Juga, saya pohon, saya pinta, saya rayu kepada semua penjawat awam, Ketua-ketua agensi Kerajaan Negeri, JPKK, JPKKB, Penghulu, Sidang, Ahli-ahli Majlis PBT dan pemimpin-pemimpin di peringkat akar umbi, sama-samalah kita bekerja lebih keras, tingkatkan prestasi, kualiti perkhidmatan dan penyampaian, supaya rakyat lebih rasai nawaitu, keikhlasan serta kehadiran kita dalam memberikan yang terbaik untuk mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Rang Undang-Undang Enakmen Perbekalan (2023) 2022 pada Persidangan Keempat (Bajet), Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Melaka Yang Kelima Belas, di Dewan Persidangan DUN, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Sulaiman turut mengambil kesempatan mengucapkan tahniah kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dilantik sebagai Perdana Menteri Ke-10 dan Datuk Seri Ahmad Zahidi Hamidi sebagai Timbalan Perdana Menteri Ke-14.

Beliau turut merakamkan ucapan tahniah kepada Ahli Parlimen Alor Gajah merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Katil Adly Zahari yang dilantik sebagai Timbalan Menteri Pertahanan.

“Kerajaan Melaka berharap semoga, Ahli-Ahli Parlimen yang mewakili Kerajaan Perpaduan, dari Alor Gajah, Kota Melaka dan Hang Tuah Jaya, untuk sama-sama kita perjuangkan kelulusan projek-projek pembangunan berimpak bagi manfaat rakyat Melaka di peringkat KerajaanPersekutuan, khususnya untuk dimasukkan di dalam Bajet Nasional 2023,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1947
Kongsi :
Previous post Sidang DUN: Isu kos sara hidup keutamaan Bajet 2023 Negeri Melaka – KM
Next post Sidang DUN: Penjawat awam Melaka terima dua bantuan khas kewangan
Ubah saiz-+=