Sorting by

×

‘Ingat dah putus….’

Masa Membaca:2 Minit, 10 Saat

KESIDANG 11 Disember – Pelbagai gelagat aksi mencuit hati dapat disaksikan pada program Berkhatan Beramai-Ramai anjuran Tabung Amal Pak Ngah bersama Persatuan Penduduk dan Surau Taman Asean, Malim, hari ini.

Tinjauan Melaka Hari Ini (MHI) di Surau Taman Asean, Malim mendapati rata-rata peserta berusia tujuh hingga 12 tahun kelihatan teruja untuk berkhatan yang menandakan permulaan melangkah ke alam bagi kanak-kanak lelaki.

Namun, ada juga yang kelihatan gementar dan takut apabila menunggu giliran untuk ‘dipotong’.

Menurut seorang peserta, Haqimie Mohd Effandy, 9, dia sangat teruja untuk bersunat sehingga tidak tidur malam.

Namun, yang paling mencuit hati ialah pada hari kejadian apabila dia merasakan seperti sudah ‘dipotong’ sepenuhnya oleh doktor ketika dikhatankan.

“Saya ingatkan dah putus…, tapi masih ada lagi…ingatkan sakit, rupanya tak sakit sangat pun.

“Hari ini sangat gembira kerana sebelum disunat, dapat jalan-jalan dan mandi di atas lori dengan kawan-kawan.

“Sudah pasti ini menjadi kenangan manis saya apabila dapat bersunat sama-sama kawan-kawan,” katanya ketika ditemui pada Program Berkhatan Beramai-Ramai anjuran Tabung Amal Pak Ngah bersama Persatuan Penduduk dan Surau Taman Asean, Malim hari ini.

IMG_20221211_150702_553
MELAKA 11 DISEMBER 2022. Nur Ashikin Abdullah, 34 (kanan) bersama anaknya Haqimie Mohd Effandy, 9, (tengah) selepas selesai berkhatan pada Program Berkhatan Beramai-ramai anjuran Tabung Amal Pak Ngah bersama Persatuan Penduduk dan Surau serta kerjasama PERKIS Melaka di Surau Taman Asean, Malim, Melaka. Foto: MR. AZLI

Sementara itu, ibunya, Nur Ashikin Abdullah, 34, berkata, program berkhatan beramai-ramai yang diadakan itu amat baik terutamanya dalam mengurangkan rasa gemuruh kanak-kanak.

Katanya, ia berikutan sebelum dikhatankan, peserta diberi peluang menaiki lori, selain turut dihiburkan dengan persembahan badut.

“Alhamdulillah, proses yang mudah, meskipun banyak drama air mata, namun semuanya lancar.

“Kita dapat lihat sokongan ibu bapa dan bagaimana mereka mengendalikan emosi anak-anak yang ketakutan masa dalam bilik khatan tadi.

“Sebagai ibu, saya rasa program seumpama ini wajar diteruskan pada setiap cuti sekolah bagi memudahkan anak-anak kariah setempat,” katanya.

IMG_20221211_150800_711
MELAKA 11 DISEMBER 2022. Peserta bersedia ketika di bilik khatan pada Program Berkhatan Beramai-ramai anjuran Tabung Amal Pak Ngah bersama Persatuan Penduduk dan Surau serta kerjasama PERKIS Melaka di Surau Taman Asean, Malim, Melaka. Foto: MR. AZLI

Untuk rekod, program Berkhatan Beramai-Ramai itu disertai seramai 31 kanak-kanak berusia dari tujuh hingga 12 tahun.

Kesemua 31 peserta telah dihiburkan dengan pelbagai persembahan yang disajikan untuk mengurangkan rasa takut kanak-kanak antaranya persembahan badut, demonstrasi memadam kebakaran oleh pihak bomba, cabutan bertuah dan pelbagai lagi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2170
Kongsi :
Previous post Remaja maut, enam cedera nahas di Jambatan Klebang
Next post Elak babi melintas, kereta terbabas tembus besi penghadang jalan
Ubah saiz-+=