Perairan Tanjung Tuan bertukar hitam
MELAKA 13 Okt. – Perairan Tanjung Tuan, Port Dickson bertukar hitam akibat kejadian tumpahan minyak yang masih belum diketahui puncanya.
Menurut Pengarah Maritim Negeri Melaka dan Negeri Sembilan Kapten Maritim Haris Fadzillah Abdullah berkata, pihaknya mengesan kejadian itu ketika pasukan bot perondanya melaksanakan rondaan kira-kira jam 11 pagi semalam.
Akibat kejadian itu katanya, perairan berkenaan kira-kira 1.3 batu nautika menghala ke Pulau Perjudi bertukar hitam dan ia dapat dilihat hingga ke pantai Tanjung Tuan serta Telok Kemang.
“Kesan tumpahan minyak turut kelihatan sehingga hingga ke pantai Tanjung Tuan serta Teluk Kemang. Hasil pemeriksaan mendapati tumpahan minyak itu menyebabkan pencemaran laut sehingga lebih kurang tiga batu nautika di perairan Tanjung Tuan sehingga ke Teluk Kemang.
“Namun demikian, hasil pemantauan dan rondaan pihak kami di sekitar lokasi kejadian, tiada kelihatan kapal sedang melakukan kerja-kerja pembuangan minyak ke laut,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Jelas Haris, buat ketika ini masih tiada kapal yang belum disahkan bertanggungjawab terhadap insiden itu dan siasatan lanjut masih lagi dijalankan.
“Sekiranya pihak terbabit didapati bersalah mereka boleh di sabit kesalahan di bawah Akta Alam Sekitar dengan dikenakan denda tidak melebihi RM1 juta atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-dua sekali.
“Maritim Malaysia akan terus mempergiatkan lagi tugas pemantauan, rondaan dan penguatkuasaan dari semasa ke semasa bagi memastikan perairan Melaka dan Negeri Sembilan dapat dibanteras dan dikurangkan, malahan akan terus memastikan perairan selamat, aman dan terkawal.
“Sebarang aduan kecemasan dan maklumat jenayah di perairan Melaka dan Negeri Sembilan boleh disalurkan ke Pusat Operasi Maritim Negeri Melaka dan Negeri Sembilan di talian 06-3876730 atau MERS 999 yang beroperasi 24 jam,” katanya.