Sorting by

×

Nasi atau mi gulung kekal rasa sejak 15 tahun

Masa Membaca:1 Minit, 45 Saat

BATU BERENDAM 8 Disember – Bukan sahaja kelainan yang dicari malah rasa masakan yang dihidangkan turut diambil kira dalam memastikan menu yang dihidangkan dapat menambat hati pelanggan.

Menyedari hakikat itu, peniaga Siti Hawa A Majid, 54, tampil dengan kelainan apabila memperkenalkan menu mi atau nasi gulung, sejak 15 tahun lalu dan terus fokus dengan mengekalkan rasa kedua-dua hidangan itu sepanjang tempoh itu.

Katanya, mungkin ada yang beranggapan ianya senang untuk dimasak tetapi sebagai individu yang mengilhamkannya ia agak sukar pada awalnya dalam mencari rasa yang sesuai dan menambah baik sehingga mendapat rasa yang benar-benar diterima ramai.

“Menu ini dibuat untuk mencari kelainan sendiri dan tidak sangka mendapat sambutan ramai, malah sehingga kini walaupun tidak dikenali secara meluas ramai pelanggan yang pernah cuba akan datang lagi.

“Ramai juga yang bertanya menu ini dibuat sejak bila kerana tidak pernah jumpa, apabila saya maklumkan sudah berbelas tahun ramai terkejut. Apa yang saya tahu, hidangan ini tiada di kedai lain.

“Bagi (makanan) gulung Langkawi, mi atau nasi goreng yang digulung dalam balutan telur goreng dan dihidangkan bersama kuah manakala mi atau nasi gulung (biasa) dihidangkan tanpa kuah. Walaupun kedua-dua menu ini mengambil sedikit masa untuk disediakan namun penggemar hidangan ini sedia menunggu,” katanya ketika ditemui di premisnya di Taman Seri Daya.

photo_2022-12-08_14-22-15
Pengunjung menikmati menu mee/nasi gulung Langkawi dan mee/nasi gulung di Tamam Seri Daya, Batu Berendam. Foto Iqmal Haqim Rosman

Ujar Siti Hawa, sebelum ini mi atau nasi gulung Langkawi dijual dengan harga RM6.50 manakala mi atau nasi gulung (biasa) pula hanya RM6 tetapi disebabkan kenaikan harga barangan sejak kebelakangan ini hidangan itu dijual dengan harga RM8 dan RM7.

“Mulanya risau juga untuk naikkan harga kerana risau akan bebankan pelanggan tetapi mujur mereka faham dan tiada masalah dengan itu. Apa yang mereka katakan asalkan rasanya tetap sama dan sedap seperti dulu, itu yang penting.

“Walaupun tidak ‘popular’ seperti menu lain tetapi saya tetap bersyukur kerana menu ini ada peminatnya malah ada yang datang dari Kuala Lumpur dan Singapura untuk mencubanya,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

5158
Kongsi :
Previous post Tiada projek ‘sakit’ di Melaka 2020 hingga 2022 – KM
Next post Melaka mohon projek RTB disegerakan, jika tangguh rakyat terkesan – KM
Ubah saiz-+=