Sorting by

×

Penyambung legasi pembikin bot Melaka

Masa Membaca:4 Minit, 28 Saat

PANTAI KUNDOR 7 Disember – Berbekalkan pengalaman bersama majikan lama Faizal Amirul Salehodin kini tidak menang tangan, apabila menerima tempahan ratusan bot fiber atau bot gentian kaca pelbagai jenis setiap tahun.

Rezeki lelaki berusia 41 tahun ini tidak pernah putus sejak dia membuka bengkel membina dan membaiki bot berasaskan gentian kaca berkenaan di atas tapak yang disewa di Kampung Gelam, di sini, pada 2010.

Ketika mula bertapak dia hanya mampu menggajikan seorang pekerja dan bersyukur kerana kini sudah mempunyai lapan membantu bagi menyiapkan tempahan daripada pelanggan.

Atas dasar mahu berkongsi rezeki Faizal menggaji belia tempatan dan pada masa yang sama dia turut melatih pekerjanya untuk menguasai ilmu pembuatan bot berkenaan kini mendapat permintaan tinggi.

“Pelanggan saya ramai dalam kalangan nelayan, bukan sahaja sekitar Negeri Melaka tetapi seluruh negara termasuk dari sebelah Pantai Timur. Sudah ratusan bot saya bina,” katanya ketika ditemui Melaka Hari Ini di bengkelnya di Kampung Gelam, di sini, baru-baru ini.

DARI KAYU KE GENTIAN

Bapa kepada tiga anak ini berkata, kini ramai nelayan dan kaki pancing beralih kepada bot gentian kaca berikutan lebih tahan lama, ringan selain mudah untuk diselenggarakan berbanding kayu.

Meskipun tidak pernah mengikuti latihan atau kursus membuat bot secara formal Faizal tetap mementingkan kualiti dan kepuasan hati pelanggan.

“Kemahiran saya miliki ini adalah bersandarkan kepada pengalaman ketika bekerja di sebuah kilang membuat bot sebelum ini.

“Alhamdulillah apa yang dipelajari sepanjang bekerja di tempat lama sama gunakan untuk bina bot berkualiti.

“Acuan untuk membentuk bot ada kayu, manakala gentian kaca adalah bahan utama untuk seluruh badan bot,” katanya.

3
PENGUSAHA bot gentian kaca, Faizal Amirul Sallehodin, 41, (kiri) membantu pekerjanya menyiapkan kerja-kerja tempahan bot gentian kaca di Kampung Gelam, Tanjung Kling, Melaka. Foto: MR. AZLI

HARGA SETANDING KUALITI

Harga bagi setiap bot ditetapkan mengikut spesifikasi tertentu seperti saiz, jenis dan mengikut kehendak tertentu daripada pelanggan.

Secara purata Faizal menerima tempahan 30 bot pelbagai saiz daripada kaki pancing khusus mereka yang memancing udang.

Selain itu bagi setiap bulan dia pada kebiasaan menerima tempahan empat ke enam buat bot daripada nelayan.

“Bagi yang gemarkan hobi memancing udang biasanya mereka tempah bot dengan panjang 13.5 kaki dan keatas.

“Tempahan untuk bot memancing udang boleh siap dalam masa empat ke lima hari. Bagi bot nelayan pula boleh disiapkan dalam masa kurang sebulan,” katanya.

4
KERJA menyiapkan tempahan bot gentian kaca di Kampung Gelam, Tanjung Kling, Melaka. Foto: MR. AZLI

PULIH BOT DI MUSIM TENGKUJUH

Musim tengkujuh amat ditunggu Faizal berikutan peningkatan tempahan daripada pelanggan dalam kalanngan nelayan di sebelah Pantai Timur.

Menurutnya, sekitar November hingga Mac setiap tahun nelayan di Pantai Timur jarang turun ke laut berikutan faktor cuaca, berikutan itu mereka menghantar bot masing-masing ke bengkelnya untuk dibaik pulih.

“Sekitar Oktober dan seterusnya dianggap bulan rezeki, bukan sahaja nelayan malah agensi kerajaan seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Kastam dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) akan hantar bot mereka untuk dibaik pulih.

“Paling istimewa saya pernah diberikan kepercayaan untuk membina bot risikan daripada sebuah agensi kerajaan,” katanya.

CABARAN KENAIKAN BAHAN MENTAH

Sama seperti usahawan yang mengusahakan produk lain kenaikan kos bahan mentah menjadi cabaran utama bagi Faizal ketika ini.

“Saya kerap mengalami situasi berasa serba salah untuk beritahu pelanggan berkenaan kenaikan harga berikutan peningkatan kos upah dan bahan mentah.

“Apa tidaknya mereka yang datang adalah pelanggan tetap yang sudah biasa membuat tempahan, membeli dan hantar bot untuk dibaik pulih.

“Jadi apabila harga bahan mentah naik, kita sebagai peniaga terpaksa juga naikkan harga, agak mencabar, ada pelanggan yang boleh terima ada juga yang marah,” katanya.

9
FAIZAL melihat bot gentian kaca yang disiapkan. Foto: MR AZLI

Namun dia menganggap semua itu sebagai asam garam dalam perniagaan dan hasil kesungguhan menjaga kualiti produk masih ramai yang memberikan kepercayaan kepadanya.

RAMAI BELI BOT GUNA DUIT KWSP

Berkongsi pengalamannya Faizal memaklumkan, dia tidak menang tangan apabila menerima banyak tempahan dalam satu masa selepas kerajaan mengumumkan kebenaran untuk pencarum mengeluarkan wang daripada akaun dua Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Katanya ramai pelanggan membeli bot gentian sebagai persiapan dan langkah berjaga-jaga menghadapi krisis ekonomi.

Dia memberitahu tidak kurang ada juga yang membeli bot untuk menjana pendapatan harian akibat dibuang kerja susulan pandemik.

“Selepas perkara itu diumumkan kerajaan tempahan saya naik sekitar 20 ke 30 peratus. Tetapi ketika itu harga barang mentah seperti gentian kaca, kayu dan paip PVC naik.

“Tetapi selepas diberikan penjelasan dan berbincang ramai pelanggan yang akur dan selepas mendapat persetujuan saya membina bot mereka,” katanya.

7
FAIZAL membantu pekerjanya melakukan kemasan akhir bot yang sudah siap sebelum diserahkan kepada pelanggan. Foto: MR. AZLI

SASARAN LIMA TAHUN

Bagi perancangan jangka panjang dia mengimpikan bot dengan logo syarikatnya Jai Fiberglass menembusi pasaran antarabangsa.

Selain itu, anak jati Kampung Gelam itu turut mengimpikan untuk membuka kilang pembuatan bot gentian kaca sendiri di bumi Melaka ini.

“Dalam tempoh 10 tahun ini, pelbagai cabaran yang saya lalui. Tetapi semua itu mengajar saya untuk menjadi lebih baik dan maju ke hadapan.

“Menjadi impian saya untuk membina bot atau kapal bersaiz 36 atau 40 kaki. Saya mahu jadi pelopor di selatan.

“Nasihat saya, dalam perniagaan perlu kuatkan semangat dan terus mara. Jangan pantang menyerah, sesekali terjatuh itu pasti, namun perlu bangkit untuk terus mara kehadapan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

6276
Kongsi :
Previous post Masjid, sekolah baharu di DUN Paya Rumput
Next post ‘Balau’ bangkitkan semangat OKU di platform maya
Ubah saiz-+=