Sorting by

×

Cadang wujud kad kesihatan untuk penerima JKM – Dr Akmal

Masa Membaca:1 Minit, 15 Saat

AYER KEROH 5 Dis – Kerajaan Negeri perlu mewujudkan ‘Kad Kesihatan Negeri Melaka’ khusus bagi penerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di negeri ini mendapatkan rawatan dengan lebih mudah.

Itu antara cadangan Exco Kesihatan dan Anti Dadah negeri, Dr Muhamad Akmal Saleh agar diketengahkan semasa pembentangan Bajet Melaka 2023 pada Persidangan Ketiga Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka pada 12 hingga 15 Disember ini.

Beliau berkata kad kesihatan itu juga secara tidak langsung memberi kemudahan kepada golongan kurang berkemampuan mendapatkan rawatan di klinik-klinik swasta di negeri ini pada waktu malam.

“Harapan kita untuk mewujudkan Kad Kesihatan Negeri Melaka yang diberikan kepada semua penerima bantuan kebajikan supaya kad kesihatan ini mereka boleh gunakan di klinik-klinik swasta dalam Negeri Melaka.

“Jadi tidak perlulah pukul 12 malam atau lewat malam ketika klinik kesihatan sudah tutup mereka ini perlu ke hospital, mereka boleh pergi ke klinik swasta berdekatan dengan rumah untuk dapatkan rawatan.

“Mereka hanya perlu menggunakan kad kesihatan yang telah diperkenalkan oleh Kerajaan Negeri Melaka,” katanya ketika dihubungi Melaka Hari Ini (MHI) di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau juga meminta supaya saringan kesihatan kepada pesakit di negeri ini diperluaskan termasuk saringan awal kanser.

“Semestinya kita akan memperluaskan saringan kesihatan di seluruh negeri Melaka, bukan saja hanya saringan kesihatan biasa seperti diabetes dan darah tinggi, tetapi saringan kesihatan untuk mengenalpasti tanda awal kanser.

“Insya-Allah Kerajaan Negeri Melaka juga akan berkolaborasi bersama beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk mewujudkan klinik bergerak,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2676
Kongsi :
Previous post Nur Fadhilah Damia hanya ada satu buah pinggang
Next post MPAG giat laksana kerja pembersihan pasca banjir
Ubah saiz-+=