Sorting by

×

Tandas kayangan: ‘Luar setinggan, dalam kondo’

Masa Membaca:2 Minit, 29 Saat

BANDA HILIR 4 Disember – Bukan untuk menunjukkan kemewahan atau mencari keuntungan, sebaliknya mahu mendidik orang ramai mengenai kepentingan dan kelebihan memiliki sebuah tandas yang bersih untuk melepaskan ‘hajat’.

Secara purata setiap individu normal di dunia pada kebiasannya akan menghabiskan masa antara 10 ke 12 minit setiap kali ke tandas untuk membuang air besar atau atau kira-kira 73 jam setahun.

Pastinya tandas yang bersih seperti di Bangunan Pusat Informasi Pelancongan, di sini, boleh menjadi contoh terbaik bagi mereka inginkan ‘bilik kecil’ yang selesa, kemas dan berbau harum sepanjang masa.

photo1670066598 (1)
WARNA emas dan hitam konsep utama tandas ‘kayangan’ di Banda Hilir. Foto: MR. AZLI

Konsep warna emas dan hitam pada dinding membuatkan pengunjung berasa seperti berada di tandas hotel lima bintang meskipun ia sebenarnya adalah berstatus awam.

Bayaran masuk RM2 dikenakan dianggap berbaloi dengan kebersihan dan kemudahan lain disediakan seperti televisyen dan jam elektronik.

photo1670066752
WAN Fatin Nabila Meor Samari. Foto: MR. AZLI

Kakitangan Newstar Pavillion Value Travel Sdn Bhd, Wan Fatin Nabila Meor Samari berkata, tandas itu diubahsuai berdasarkan idea majikannya, Kwan Pay Yee, selepas syarikat berkenaan mengambil alih kerja penyelenggaraan Ogos lalu.

“Proses pengubahsuaian mengambil masa enam bulan, selepas dibuka kami menerima sambutan amat menggalakkan daripada pengunjung.

“Ramai pelancong luar yang teruja dengan rekaan dalaman tandas ini.  Mereka tidak kisah meskipun dikenakan caj RM2, ramai yang puas hati hinggakan ada yang tularkan tandas kami di media sosial.

“Semua ini adalah antara usaha menarik lebih ramai pelancong ke Banda Hilir. Sekitar kawasan ini kedai menjual cendera hati makanan, minuman dan perkhidmatan semuanya ada,” katanya.

photo1670066598 (2)
KAKITANGAN bahagian pembersihan, Farina Aznin Pilus , 52, melakukan pembersihan ruang tandas awam yang terletak di Surau Warisan Dunia, Banda Hilir, Melaka. Foto: MR. AZLI

Sementara itu, kakitangan pembersihan, Farina Aznin Pilus, 52, buat pertama kali dalam hidupnya dia diberikan tugas untuk menjaga kebersihan tandas yang dianggap mewah.

Farina yang memulakan tugas seawal jam 7.30 pagi, bertanggungjawab memastikan tandas berkenaan dalam keadaan bersih dan berbau harum bagi menjamin keselesaan pengunjung.

Baginya, apa yang dilakukan adalah untuk menyedarkan orang ramai agar menghargai kebersihan, selain nikmat dan keselesaan berada di sebuah tandas yang bersih.

“Setiap kali pengunjung tanya bagaimana saya kekalkan kebersihan tandas saya kongsikan prinsip dipegang selama ini iaitu ‘You talk about money, we care about hyegien’ (kamu bercakap mengenai wang, kami mengutamakan kebersihan).

“Tandas ini perlu dijaga seperti rumah sendiri. Tandas yang kotor dan menjijikkan secara tidak langsung mencerminkan keadaan di rumah kita.

“Setiap setengah jam sekali saya akan bersihkan tandas. Jika jumlah pengguna ramai pada satu-satu saya masa akan pantau, biarlah pengunjung selesa, berpuas hati dengan perkhidmatan yang mereka bayar ini,” katanya.

photo1670066598 (3)
TANDAS awam yang dikenakan caj perkhidmatan sebanyak RM2 dengan menggunakan mesin pembayaran masuk yang terletak di Surau Warisan Dunia, Banda Hilir, Melaka. Foto: MR. AZLI

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

5364
Kongsi :
Previous post Kerajaan Perpaduan titik tolak politik baharu Malaysia – Ab Rauf
Next post Rezeki ‘tersadai’ 11 tahun, penerbit filem Spilt Gravy On Rice hampir putus asa
Ubah saiz-+=