Sorting by

×

Bagai menjamu selera di ‘zaman silam’

Masa Membaca:2 Minit, 15 Saat

BANDA HILIR 3 Disember – Susun atur perkakas rumah dan konsep ‘klasik’ yang diterapkan membawa pelanggan berkunjung ke Rumah Makan 100 tahun di Banda Hilir, di sini, kembali ke zaman silam.

Sesuai dengan namanya, premis yang diusahakan pasangan suami isteri Mohamad Nazim A samad, 50, dan Harudilah Halim, 47, pasti memberikan pengalaman dan suasana berbeza kepada setiap pelanggan.

Selain dekorasi zaman silam yang mengimbau kenangan lama, pelanggan ditawarkan lebih 40 menu menyelerakan seperti masak lemak daging salai, asam pedas tetel, set siakap garing dewa, sotong bagak garing 100 tahun, dulang madu 3, ketam lembut 100 tahun dan moza oyster 6 jahanam.

Katanya menu yang dihidangkan adalah mesra pelanggan dan sesuai untuk semua peringkat usia.

rumah makan 100 tahun 3
PELANGGAN menikmati makanan sambil bersila. Foto MR AZLI

Malah, pelanggan boleh memilih tiga ruangan makan berbeza iaitu luar rumah, bawah rumah serta dalam rumah mengikut citarasa mereka.

Sambil menjamah hidangan disediakan, pelanggan dihiburkan dengan persembahan ‘busking’ dan gesekan biola.

Mohamad Nazim berkata, tertarik dengan keunikan rumah kayu lama itu selain lokasi yang strategik dan mudah di akses meskipun terletak di pinggir bandar, dia bersama isteri ‘mencuba nasib’ membuka Rumah Makan 100 tahun.

“Kami memang merancang untuk membuka premis makanan, tetapi ingin cari kelainan kerana kita tahu di Negeri Melaka sudah banyak tempat makan. Jadi kami perlu fikirkan sesuatu yang baharu dan unik.

“Untuk bawa konsep Melayu tradisional, bagi kami unit di bangunan rumah kedai suasananya seakan tidak ada ‘feel’, jadi apabila terjumpa rumah ini kami berasa ia adalah lokasi paling sesuai.

rumah makan 100 tahun 6
MOHAMAD Nazim Samad, 50, mengalu-alukan kedatangan pelanggan di Rumah 100 Tahun, Ujong Pasir. Foto MR AZLI

“Sebenarnya ketika PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) kami pernah singgah makan di sini dan suasana itu berlatar belakangkan keunikan rumah lama membuatkan kami jatuh hati. Mungkin sudah rezeki kami, ketika pulang pada cuti perayaan Mei lalu ternampak iklan rumah berkenaan yang ditawarkan untuk sewaan,” katanya.

Menurutnya, nama kedainya adalah bersempena usia rumah itu yang didakwa pemilik asal sudah berusia hampir 100 tahun.

“Keadaan fizikal rumah ini kami kekalkan tiada ubah suai dibuat dan bagi menaikkan ‘mood’ kampung, kami sediakan dua bilik di ruang dalam untuk mereka mahu makan bersila.

“Malah dekorasi di dalam, kami selitkan dengan hiasan barang-barang lama dan antik, ia bagi menambahkan lagi suasana kampung zaman dahulu yang sudah jarang dirasai oleh generasi sekarang.

rumah makan 100 tahun 5
ANTARA barang antik yang dipamerkan di Rumah 100 Tahun, Ujong Pasir. Foto MR AZLI

“Alhamdulillah, selepas lima bulan beroperasi, sambutan yang diterima amat menggalakkan. Pelanggan kami bukan sahaja orang tempatan ada juga datang dari Singapura dan Indonesia,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

3714
Kongsi :
Previous post Aura menara jam ‘bangunan merah’
Next post Spilt Gravy on Rice rangkul Filem Terbaik FFM32
Ubah saiz-+=