Sorting by

×

Kekalkan suasana kampung di Ayer Molek

Masa Membaca:3 Minit, 33 Saat

AYER MOLEK 1 Disember – Lokasinya yang jauh dari bandar dan dikelilingi kehijauan membantu memulihara suasana kampung di Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Molek.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Molek, Datuk Rahmad Mariman berkata ‘mood’ kampung dianggap sebagai satu warisan tidak nyata yang perlu terus dipulihara agar dapat dinikmati oleh generasi akan datang.

“Rami yang berhijrah ke bandar khususnya untuk mencari peluang pekerjaan, namun setiap kali musim cuti perayaan mereka akan berlumba-lumba pulang ke kampung dan lari seketika daripada kesibukan hutan batu.

“Melihat persekitaran kampung dikelilingi pokok menghijau mendamaikan jiwa dan memberikan ketenangan.

“Biarlah kekal begitu tanpa ada pembangunan mega yang boleh merosakkan alam sekitar, kita kekalkan kehijuan yang ada,” katanya.

TAMBAH BAIK KEMUDAHAN ASAS

Menurutnya, mengekalkan kehijauan bukan bermakna tidak ada langsung pembangunan yang akan dijalankan di DUN Ayer Molek.

Jelasnya, pembangunan kemudahan asas untuk keselesaan penduduk seperti jalan raya akan terus diperkasakan.

“Setakat ini boleh kata semua kemudahan asas itu sudah ada, cuma perlu diselenggara dan proses itu akan dilakukan demi kemudahan rakyat.

“Antara projek dirangka untuk keselesaan rakyat adalah masjid baharu di Tambak Paya yang dijangka akan siap sebelum Ramadan 2023.

“Kita juga ada pembinaan jalan baharu dari Paya Dalam ke Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah- Jasin (AMJ) sebagai laluan pintas bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas,” katanya.

fokus dun ayer molek 1
RAHMAD (kiri) melawat tapak binaan cerun dan menaik taraf longkang di Kampung Bukit Lintang, Ayer Molek, Melaka. Foto MR AZLI

ATASI ISU BANJIR

Beliau yang juga Exco Kerja Raya, Pengangkutan, Kemudahan Awam, Infrastruktur dan Pengurusan Banjir negeri berkata, satu lagi keutaamnya sebagai Adun adalah mengatasi masalah banjir.

Dia memberitahu menggunakan peruntukan daripada Kerajaan Negeri dan Pusat pelbagai langkah jangka panjang serta pendek untuk mengatasi bencana itu dijalankan.

“Isu banjir dipandang serius, beberapa penyelesaian hasil inisiatif sendiri diambil termasuk membina saliran, menggali longkang dan menubuhkan jawatankuasa banjir bagi mengenal pasti lokasi terjejas.

“Bagi DUN Ayer Molek kita ada tiga pasukan bencana yang memainkan peranan besar apabila berlaku banjir.

“Projek tebatan banjir Sungai Duyong juga giat dijalankan dan dijangka siap dalam tempoh dua tahun setengah. Selain itu kita juga ada pembinaan empangan baharu bagi menggantikan empangan 25 yang usianya sudah lebih 100 tahun selain saiz yang sudah tidak relevan,” katanya.

fokus dun ayer molek 6
RAHMAD (kiri) bersama ahli jawatankuasa melihat kelengkapan bot yang sedia ada bagi persediaan bencana banjir di Japerun Ayer Molek, Melaka. Foto MR AZLI

CAKNA KEPERLUAN, KEBAJIKAN RAKYAT

Aspek kesihatan turut diberikan perhatian dengan melantik Pegawai Kebajikan DUN untuk mengenal pasti individu yang uzur dan memerlukan perhatian.

“Bukan sahaja menyediakan ambulans percuma kepada penduduk sekitar yang memerlukan tetapi turut membantu membaik pulih rumah.

“Saya ini asalnya bukan orang senang, jadi saya dapat merasai denyut nadi mereka yang dalam kesusahan.

“Selain itu saya juga ada memohon daripada segi kemudahan pengangkutan awam supaya Bas Panorama bagi laluan Melaka Sentral ke Jasin untuk masuk ke beberapa lokasi di DUN ini,” katanya.

fokus dun ayer molek 3
RAHMAD (kiri) melawat projek naiktaraf longkang bagi mengatasi masalah banjir di Taman Ayer Molek Seksyen 1, Ayer Molek, Melaka. Foto MR AZLI

PERKASA MASYARAKAT JAWA

Tambah Rahmad, menjadi DUN yang mempunyai masyarakat Jawa sudah pasti, warisan yang masih ada itu akan terus dipertahankan dengan pembinaan Kompleks Persatuan Warisan Anak Jawa (Perwaja) kini menjadi lokasi berlangsungnya pelbagai aktiviti termasuk kebudayaan.

“Selain itu kita juga dalam perancangan membangunkan Perkampungan Masyarakat Jawa, ini dilakukan bagi memulihara kebudayaan dan adat yang ada, kerana di situ nanti akan dipamerkan warisan berkaitan masyarakat Jawa,” katanya.

fokus dun ayer molek 8
RAHMAD

BIODATA

Nama: Datuk Rahmad Mariman
Umur: 58

Karier:-
– Exco Kerja Raya, Pengangkutan, Kemudahan Awam, Infrastruktur dan Pengurusan Banjir (2021 – kini)
– Exco Kesihatan dan Antidadah (2020 – 2021)
– Ahli Dewan Undangan Negeri Ayer Molek (2018 – kini)
– Polis Diraja Malaysia (1988 – 1995)

Politik:-
– Naib Ketua Bahagian Hang Tuah Jaya
– AJK Bahagian (2001-2018)
– Ketua Pemuda Cawangan (1995-2001)
– Setiausaha Perhubungan Pemuda Bahagian (1995-2001)

INFO DUN Ayer Molek:

Jumlah penduduk : Lebih 23,315

Kampung : 32
Taman Perumahan : 27

Rumah Ibadat:-
Masjid: 11
Surau: 36
Tokong: 4
Kuil: 3

Institusi Pendidikan:-
Sekolah Kebangsaan: 6
Sekolah Menengah: 1
Sekolah Jenis Kebangsaan Cina: 1
Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil: 1
Sekolah Rendah Agama JAIM: 10

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

5519
Kongsi :
Previous post Polis Melaka berkas 7 ‘bookie’ Piala Dunia
Next post Tutup satu simpang, elak kemalangan
Ubah saiz-+=