Pendapatan bawah RM6,000 layak mohon pangsapuri mampu milik Kuala Sungai Baru – LPM
KUALA LINGGI 28 November – Pembeli rumah pertama dan mereka yang berpendapatan isi rumah RM6,000 dan ke bawah layak membeli pangsapuri mampu milik pada harga serendah RM90,000 hingga RM108,000 berhampiran Universiti Melaka (UniMel), Kuala Sungai Baru, di sini.
Pengarah Eksekutif Lembaga Perumahan Melaka (LPM), Mohd Saleh Hamidom berkata, setakat ini, satu daripada enam blok pangsapuri tersebut telah terjual.
Katanya, dua blok lagi kini buka untuk jualan, manakala selebihnya masih dalam proses pembinaan dan pengubahsuaian.
“Pangsapuri mampu milik itu merupakan bekas kediaman pelajar Kolej Universiti Islam Melaka (KUIM) yang kini telah bertukar wajah menjadi Universiti Melaka (UniMel).
“Kediaman pelajar telah berpindah ke lokasi lain, dan pangsapuri itu dibaik pulih serta berwajah baharu dan dijual kepada golongan B40 dan M40 untuk mendapatkan rumah sendiri,” katanya ketika dihubungi Melaka Hari Ini.
Terdahulu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kualan Linggi, Rosli Abdullah berkata kira-kira 200 unit pangsapuri berhampiran UniMel, Kuala Sungai Baru akan dijual bagi membantu rakyat bagi memiliki rumah sendiri.
Menurut Rosli, rumah tersebut memiliki tiga bilik dan dua bilik air dengan keluasan kira-kira 670-690 hingga 770-790 kaki persegi.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.