PM arah NACCOL cerakin seluruh implikasi subsidi, beri tempoh dua minggu
PUTRAJAYA, 27 November – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengarahkan Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) untuk mencerakin dan menelusuri implikasi subsidi dalam tempoh dua minggu.
Beliau berkata subsidi yang ditanggung kerajaan pada masa ini antaranya subsidi elektrik, dinikmati semua golongan walaupun ia sebenarnya bertujuan untuk membantu golongan rakyat miskin.
“Saya tidak ada masalah dengan subsidi bagi rakyat terutama yang susah, tetapi dalam perbincangan kita, subsidi ini harus bersasar,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat khas Majlis Tindakan Sara Hidup Negara di Perdana Putra, di sini hari ini.
“Saya berikan tempoh dua minggu untuk mencerakin dan menelusuri seluruh implikasi, dan bincang dengan sektor swasta, pelabur supaya mereka faham subsidi bertujuan untuk meringankan beban rakyat miskin, dan tentunya golongan kaya dan industri tidak harus mengambil manfaat.
“Maknanya subsidi untuk elektrik akan diteruskan. Bila saya sebut perkara ini saya tidak mahu ada kebimbangan subsidi untuk rakyat, tetapi untuk golongan terkaya, industri besar …tidak harus memperoleh subsidi kerana ia menjadi beban kewangan yang besar kepada kerajaan,” tambahnya.
Anwar berkata dasar menyeluruh berkaitan isu subsidi itu akan diteliti selepas pembentukan Kabinet.
Mesyuarat khas Majlis Tindakan Sara Hidup Negara itu turut dihadiri Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali dan Gabenor Bank Negara Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus serta ketua-ketua setiausaha kementerian.
Perdana Menteri pada hari pertamanya bertugas di Perdana Putra pada Jumaat lepas berkata isu kos sara hidup menjadi keutamaan kerajaan perpaduan pimpinannya bagi mengurangkan beban dialami rakyat ketika ini.
Sementara itu Anwar berkata beliau telah meminta Kementerian Pertanian dan Industri Makanan melalui Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) untuk mengambil langkah bagi mengawal kos pengeluaran bekalan makanan seperti telur ayam.
“Saya juga ucapkan terima kasih kepada industri kerana nampaknya telah berjaya menyediakan telur ayam di pasaran dengan mencukupi,” katanya.
— BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.