Lagenda bola sepak Kelantan Hashim Mustapha kritikal

Masa Membaca:1 Minit, 0 Saat

KOTA BHARU, 26 Nov – Bekas pemenang anugerah Kasut Emas Liga Malaysia pada 1990, 1993 dan 1994, Mohd Hashim Mustapha berada dalam keadaan kritikal akibat masalah komplikasi kencing manis.

Mohd Nizab Ayub, menantu kepada bekas penyerang prolifik Kelantan itu berkata bapa mentuanya ketika ini sedang menjalani rawatan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, di sini, sejak semalam.

“Papa (Mohd Hashim) dikejarkan ke hospital selepas mengalami keletihan selain jantung berdegup kencang pada pukul 11 pagi semalam dan telah ditidurkan berikutan keadaan agak kritikal.

“Saya mohon kepada seluruh peminat bola sepak negara mendoakan semoga beliau kembali sembuh seperti sedia kala,” katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.

Pada Okt lalu, Mohd Hashim yang berusia 57 tahun itu telah menjalani pembedahan memotong kaki kirinya, akibat penyakit kencing manis yang dialaminya sejak beberapa tahun lalu.

Lagenda bola sepak Kelantan itu pernah dinobatkan penjaring terbanyak dan memenangi anugerah kasut emas pada era 90-an dalam saingan Liga Malaysia selain turut mewakili negara pada era itu.

Penyerang kelahiran Kota Bharu itu, pernah dilantik sebagai penolong jurulatih pasukan Kelantan pada 2010 sehingga 2012, dan pernah menjadi ketua jurulatih pasukan Tok Janggut Warriors FC yang beraksi dalam Liga M3.

— BERNAMA

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2450
Kongsi :
Previous post Lelaki muat naik video berunsur perkauman dibebas dengan jaminan polis
Next post TDM mengharapkan yang terbaik daripada kerajaan baharu
Ubah saiz-+=