Sorting by

×

Bella alami kecederaan fizikal, emosi di bawah jagaan Siti Bainun – Hakim

Masa Membaca:3 Minit, 54 Saat

KUALA LUMPUR, 24 Nov – Mahkamah Sesyen hari ini mendapati remaja perempuan sindrom Down yang dikenali sebagai Bella mengalami kecederaan fizikal dan emosi semasa berada dalam pemeliharaan pengasas Rumah Bonda Siti Bainun Ahd Razali.

Hakim Izralizam Sanusi dalam penghakimannya semasa memerintahkan Siti Bainun, 30, membela diri atas pertuduhan mengabai dan menganiaya remaja berkenaan, berkata sekiranya tertuduh menjaga Bella dengan baik dan penuh perhatian sudah pasti remaja itu tidak akan menderita dan mengalami kesakitan akibat kecederaan dialami.

“Berdasarkan keterangan saksi-saksi pendakwaan (SP) terdiri daripada pakar perubatan dari Hospital Kuala Lumpur (HKL) yang merawat Bella dan bekas penghuni Rumah Bonda serta merujuk kepada gambar-gambar kecederaan Bella dan rakaman melalui telefon bimbit, saya mendapati mangsa mengalami kecederaan fizikal dan emosi semasa berada dalam pemeliharaan tertuduh (Siti Bainun).

“SP3 (pakar pediatrik HKL Dr Nizam Malik Bali Mohamed) mengatakan bahawa terdapat banyak kesan luka lama pada muka, leher kiri, bahagian belakang, perut dan paha kanan pesakit (Bella). SP4 (pegawai perubatan HKL Dr Sheshadri Sridar) dalam keterangannya juga menunjukkan terdapat kesan lecur pada kedua-dua tangan Bella dan kesan-kesan parut di badan Bella,” katanya.

Sehubungan itu Izralizam memutuskan pihak pendakwaan berjaya membuktikan tertuduh menganiaya dan menyebabkan kecederaan fizikal serta emosi Bella.

Hakim itu berkata pakar bedah plastik HKL Dr Salmi Mohamed Shukur (SP15) yang merawat luka di kedua-dua tangan Bella menyatakan sepanjang merawat remaja itu, beliau mendapati kecederaan dialami adalah serius yang luka-luka tersebut mengambil masa untuk sembuh.

“SP15 juga menyatakan bahawa luka di kedua-dua tangan Bella adalah luka kelecuran tahap kedua dan ia bukan disebabkan oleh kemalangan atau kecederaan yang dibuat sendiri,” kata Izralizam.

Beliau berkata menurut SP2 iaitu Dr Meenambigai PK Sevarajah yang bertugas di bahagian Kecemasan dan Trauma HKL terdapat kesan kecederaan dan parut lama pada badan Bella semasa remaja itu mula-mula dibawa ke hospital berkenaan.

Sementara itu, Izralizam berkata jururawat masyarakat di rumah kebajikan Taman Sinar Harapan Wan Zuriena Wan Ismail (SP14) menyatakan bahawa Bella mengalami trauma dan takut apabila kembali ke pusat penjagaan itu.

“SP14 pernah merawat Bella semasa Bella berada di Taman Sinar Harapan sebelum dan selepas Bella diserahkan kepada tertuduh dan telah memberikan perbandingan sebelum dan selepas Bella diserahkan. Beliau mendapati selepas Bella dihantar semula ke pusat jagaan itu, Bella berasa takut dengan orang, tidak sama seperti sebelumnya dan mengalami trauma serta sering menjerit pada waktu malam,” katanya.

Selain itu, Izralizam berkata penghuni Rumah Bonda, Yasmin Nahar Mahmood (SP5) menyatakan di mahkamah bahawa beliau merasakan tertuduh telah menyebabkan kecederaan lecur pada badan Bella dengan menggunakan air panas.

“Keterangan SP15 itu disokong oleh Dr Nizam Malik (SP3) yang berpendapat bahawa kecederaan dialami Bella akibat didera dan mustahil ia dibuat sendiri dan bukan disebabkan oleh kemalangan kerana terdapat banyak kecederaan luka lecur yang berulang kali,” katanya.

Sementara itu, Izralizam berkata pendakwaan berjaya membuktikan tertuduh mempunyai pemeliharaan terhadap Bella berikutan wanita itu telah mendapat perintah jagaan sementara ke atas remaja berkenaan sejak 14 Julai 2020.

Katanya, pada 24 Sept 2020 mahkamah mengeluarkan perintah supaya Bella diletakkan di bawah jagaan tertuduh sehingga berumur 18 tahun dan perintah tersebut meletakkan syarat antara lain supaya Bella tidak boleh dipindah hak penjagaan dan pemeliharaannya kepada orang lain tanpa proses yang sah disisi undang-undang.

“Dengan ini, pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie bagi kedua-dua pertuduhan dan memerintahkan tertuduh membela diri,” katanya.

Peguam Mohammad Farhan Maaruf yang mewakili Siti Bainun kemudian memaklumkan mahkamah bahawa anak guamnya akan memberikan keterangan secara bersumpah di kandang saksi.

“Pihak pendakwaan telah menawarkan 15 saksi kepada pembelaan, namun kami masih belum menerima arahan daripada anak guam berhubung perkara itu, bagaimanapun lima saksi pembelaan termasuk Siti Bainun akan dipanggil untuk memberi keterangan dan pihak kami akan memfailkan senarai saksi esok,” katanya.

Mahkamah menetapkan perbicaraan kes itu selama lima hari bermula 5 Dis ini. Siti Bainun dilihat menangis sambil ditenangkan oleh peguamnya selepas mendengar keputusan itu.

Siti Bainun didakwa mengabai dan menganiaya remaja perempuan sindrom Down berusia 13 tahun itu sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi di sebuah unit kondominium di Wangsa Maju antara Februari dan Jun 2021 mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, peguam-peguam pemerhati dalam kenyataan media berkata pihaknya berpuas hati terhadap keputusan hari ini yang telah mengambil kira kesemua bukti, keterangan saksi-saksi pendakwaan serta hujahan pihak pendakwaan dan pembelaan.

“Sesungguhnya keadilan kes ini perlu diperoleh segera supaya ibu bapa atau penjaga khususnya terhadap anak-anak kurang upaya memandang serius aspek kebajikan anak-anak dalam pemeliharaan mereka. Dapatan mahkamah pada hari ini adalah manifestasi perjuangan adik Bella dan masyarakat dalam mencari keadilan buat dirinya (Bella),” katanya.

-BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2279
Kongsi :
Previous post Anwar angkat sumpah Perdana Menteri Ke-10
Next post Terap prinsip Rukun Negara sejak kecil – KM
Ubah saiz-+=