Sorting by

×

Penalti JDT ‘bunuh’ semangat Melaka United

Masa Membaca:1 Minit, 33 Saat

PAYA RUMPUT 11 Okt. – Pengendali Melaka United, Zainal Abidin Hassan menyifatkan sepakan penalti Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam aksi perlawanan akhir Liga Super, malam tadi mempengaruhi konsenstrasi pemain sekali gus mendera emosi pasukan untuk mengutip mata.

Beliau tidak menafikan keputusan tewas 0-5 di tangan pasukan gergasi itu agak mengecewakan namun permainan harus diteruskan meskipun keputusan pengadil, Noor Azriel Baharudin memberikan penalti itu tepat atau sebaliknya.

Jelasnya, permainan anak buahnya diakui cemerlang dari mula perlawanan sehingga ke minit ke-70 perlawanan malah mempamer disiplin tinggi untuk terus menyerang kubu lawan.

“Keputusan penalti membunuh semangat pemain yang lambat bangkit, di situ nampak ‘turning point’ dan konsenstrasi kita terleka sebentar sehingga empat gol dibolosi lagi.

“Kita tahu JDT adalah pasukan gergasi dan mereka mendominasi perlawanan namun disiplin pemain kita harus diberi pujian.

“Cuma pada 15 minit terakhir telah menghampakan kita kerana pemain amat kecewa dengan keputusan penalti, itulah yang ‘membunuh’ kami,” katanya pada sidang media selepas tamat perlawanan di Stadium Hang Jebat, di sini malam tadi.

Pada aksi perlawanan akhir Liga Super malam tadi, kekebalan benteng pertahanan pasukan Melaka United dibolosi menerusi sepakan penalti Leandro Velazquez pada minit ke-70 sekaligus menyemarakkan semangat pasukan lawan untuk menambah empat gol.

Dalam pada itu, bagi menghadapi Piala Malaysia yang akan bermula 25 Oktober ini, Zainal Abidin berkata, skuad Sang Kancil perlu melakukan lebih banyak ‘kerja rumah’ supaya membentuk pasukan yang lebih fokus.

“Kita perlu lupakan Liga Super dan fokus kepada Piala Malaysia selepas ini serta membuat lebih baik.

“Saya yakin pasukan ini jika memberi sedikit lebih lagi dalam perlawanan mereka, kita akan lebih bersedia dalam saingan itu,”katanya.

Dalam pada itu, Ketua Jurulatih JDT, Benjamin Mora Mendivil turut memuji corak permainan pasukan Melaka United menerusi beberapa serangan berbahaya pada separuh pertama perlawanan.

“Anak buah kendalian Zainal Abidin mempamer kerjasama pasukan yang baik malah ada satu dua serangan bahaya ditunjukkan namun Melaka United sudah buat terbaik,” katanya.

Views:

605
Kongsi :
Previous post 241 individu terima pingat, darjah kebesaran TYT Melaka hari ini
Next post Kamarudin, ahli PAS Melaka pertama bawa gelaran Datuk
Ubah saiz-+=