Sorting by

×

“Pergi tengok wayang” – Anwar

Masa Membaca:1 Minit, 18 Saat

KAJANG, 23 Nov – “Pergi tengok wayang”, itu reaksi berseloroh Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika diajukan soalan destinasi yang ditujunya selepas keluar dari rumahnya di Sungai Long di sini hari ini.

Kenderaan yang membawa Presiden PKR itu kemudian meninggalkan kediamannya pada kira-kira 11.22 pagi.

Isteri Anwar iaitu Pengerusi Penasihat PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail juga sempat menyapa petugas media yang berkampung di depan rumahnya sebelum beredar pukul 11.15 pagi untuk melawat seorang ahli Angkatan Muda Keadilan (AMK) yang sedang menjalani rawatan di hospital akibat kemalangan sewaktu berkempen pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“A waiting game,” kata Ahli Parlimen Bandar Tun Razak itu ringkas apabila mengulas mengenai perkembangan politik semasa negara yang diibaratkan sebagai permainan menunggu.

Semalam, Anwar dan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara setelah tiada Ahli Dewan Rakyat yang mendapat kepercayaan majoriti mudah untuk dilantik sebagai Perdana Menteri seperti yang diperuntukkan di bawah Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

Majoriti mudah untuk membentuk kerajaan ialah 112 kerusi, namun ketika ini berlaku situasi Parlimen tergantung apabila tiada parti atau gabungan politik mendapat majoriti mudah untuk membentuk kerajaan Persekutuan.

Keputusan PRU15 pada 19 Nov menyaksikan PH memperoleh 82 kerusi Parlimen, PN (73), Barisan Nasional (30), Gabungan Parti Sarawak (23), Gabungan Rakyat Sabah (enam), Warisan (tiga), Bebas (dua) serta Parti Bangsa Malaysia dan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat masing-masing satu kerusi.

— BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

3180
Kongsi :
Previous post Tutup rundingan, Muhyiddin umpama derhaka kepada Agong – Dr Akmal
Next post Penunggang motosikal tular lari daripada polis berjaya ditahan
Ubah saiz-+=