Sorting by

×

PRU-15: Patah kaki pun boleh ‘pangkah’

Masa Membaca:1 Minit, 11 Saat

TANGGA BATU 19 November – Terhincut-hincut berjalan akibat patah tulang kaki kiri tidak menghalang pengundi muda, Ahmad Norhafiz Mohd Amin, 19, menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), hari ini.

Norhafiz yang tiba berseorangan mengundi di saluran tujuh Sekolah Kebangsaan Tanjung Minyak menaiki kereta rakannya sambil dibantu oleh petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kira-kira jam 2.45 petang tadi.

Percaya bahawa peluang hanya datang sekali dalam tempoh lima tahun, dia tidak mahu melepaskan peluang menentukan kerajaan pada hari ini.

“Patah kaki pun saya rasa tiada masalah untuk datang memangkah (mengundi) hari ini kerana saya dibantu oleh petugas SPR daripada awal sampai akhir proses mengundi.

“Jujur memang sakit hendak berjalan tetapi peluang ini hanya datang sekali. Saya pun sudah lama menunggu saat ini sebab ini sumbangan saya untuk negara.

“Semangat datang daripada diri sendirilah. Saya tidak sanggup tunggu lagi lima tahun baru hendak ada satu perubahan dalam kerajaan,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Norhafiz yang tinggal di Kampung Tanah Merah, Krubong juga percaya bahawa ‘gelombang anak muda’ akan memberi satu kejutan buat negara.

“Ikutkan hari ini saya datang dengan ibu dan ayah saya tetapi mereka pun bertugas jaga pusat mengundi di Telok Mas. Saya berkorban juga datang hari ini tumpang kawan.

“Harapan saya kali ini orang muda akan mengundi dengan bijak dan tiada lagi wakil rakyat yang suka berjanji kosong,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1715
Kongsi :
Previous post Remaja masyarakat Orang Asli berdebar nak mengundi
Next post PRU15: Proses pengundian di seluruh negara lancar, terkawal – KPN
Ubah saiz-+=