Remaja masyarakat Orang Asli berdebar nak mengundi
TABOH NANING 19 November – Berdebar dan takut, itulah perkongsian daripada remaja masyarakat Orang Asli dari Kampung Bukit Payung, di sini yang pertama kali menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi.
Suhaida Nazri, 19, berkata, pengalaman kali pertama terbabit secara langsung dalam proses demokrasi itu bagaimanapun berjalan lancar dengan bantuan daripada petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
“Tadi seawal jam 9 pagi saya ke pusat mengundi di Sekolah Kebangsaan Cherana Putih, melaksanakan tanggungjawab sebagai pengundi bukan sukar dan tidak mengambil masa yang lama.
“Selepas semuanya selesai perasaan berdebar dan takut itu bertukar menjadi seronok kerana sudah menjalankan tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia hari ini,” katanya ketika ditemui, hari ini.
Seorang lagi remaja masyarakat Orang Asli Shahrul Sairif, 18, bersama abangnya Erry Sairif, 21, dan ahli keluarga lain keluar awal bagi mengelakkan kesesakan di tempat pembuangan undi.
“Pada awalnya saya tidak endahkan sangat hal ini namun tertuja untuk mengundi selepas diberikan penerangan mengenai kepentingan tanggungjawab dan hak kita sebagai pengundi,” katanya.
Sementara itu Enjer Doi, 33, tinggal di Jempol, Negeri Sembilan pulang ke kampung asalnya itu pagi semalam kerana risau terlepas peluang untuk mengundi.
“Meskipun hujan sepanjang perjalanan saya tetap pulang ke kampung. Bukan sekadar menunaikan tanggungjawab tetapi mengambil kesempatan yang ada untuk berjumpa keluarga,” katanya.
Tok Batin masyarakat Orang Asli Kampung Bukit Payung Nur Isjemei Ismail, 37, berkata, 90 peratus daripada keseluruhan 260 penduduk di penempatan itu keluar menunaikan tanggungjawab setakat jam 4 petang tadi.
“Jumlah berkenaan adalah termasuk remaja berusia 18 tahun yang kali pertama mengundi dan mereka yang tinggal di luar tinggal Negeri Melaka.
“Sebagai pemimpin saya amat menggalakkan penduduk di kampung ini untuk keluar mengundi kerana banyak faedah kepada mereka,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.